PETALING JAYA: Tindakan pasukan pendakwaan kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang meminta prosiding perbicaraan 47 pertuduhan dihentikan terhadap Timbalan Perdana Menteri itu disifatkan sebagai satu kemenangan paling bermakna dalam menghadapi pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana milik Yayasan Akalbudi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana doa seluruh kepemimpinan dan ahli-ahli UMNO selama ini telah dimakbulkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan itu.
“Sudah pastinya keputusan ini merupakan kemenangan yang penuh bermakna kepada beliau dan keluarga termasuk juga UMNO apabila selama ini beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai tomahan dan kecaman.
“Malah, kemenangan ini lebih bererti apabila pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar telah memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara (AGC) mahu menghentikan semua prosiding terhadap beliau.
“Menerusi keputusan ini, kita boleh membuat kesimpulan bahawa tuduhan dan pendakwaan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Ahmad Zahid selama ini adalah satu penganiayaan yang bermotifkan politik semata-mata,” katanya dalam kenyataan.
Justeru, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang mengharapkan, pendakwaan-pendakwaan seperti itu tidak lagi berlaku selepas ini.
Katanya, ia bagi memperlihatkan sistem institusi perundangan negara lebih telus dan berwibawa.
“Saya juga berharap Jabatan Peguam Negara perlu menjadi satu badan yang bebas dan berlaku adil kepada semua pihak demi kesejahteraan negara ini,” katanya. – UTUSAN









