PUTRAJAYA: Kembara Kenali Borneo yang disertai Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah baru-baru ini disifatkan sebagai suatu acara ‘luar biasa’.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan baginda berdua mencemar duli dan menyantuni rakyat di Sabah dan Sarawak juga adalah sesuatu yang amat membanggakan.
Beliau berkata, Tuanku berdua juga telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Malah, keterujaan rakyat Sabah dan Sarawak dapat dilihat dengan jelas di sepanjang lebih 2,000 kilometer (KM) kembara yang dilalui baginda berdua.
“Rombongan itu memperlihatkan keprihatinan baginda kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya khususnya rakyat di Sabah dan Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kembara Merdeka Desa Madani 2023 di sini hari ini.
Justeru, katanya, seluruh rakyat Malaysia seharusnya meraikan dan bersemangat untuk menyambut Hari Malaysia esok.
Ahmad Zahid berkata, biarpun majlis sambutan Hari Malaysia akan diadakan di Kuching, Sarawak namun, rakyat di Semenanjung khususnya di Putrajaya wajib meraikan perayaan ini dengan semangat yang sama.
Kembara Kenali Borneo selama 11 hari berakhir Rabu lalu membabitkan perjalanan sejauh 2,332 kilometer (km) lebih daripada jangkaan asal iaitu 2,154 km, merentasi Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.
Terdahulu, pada majlis sama, lebih 1,500 warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah memeriahkan sambutan Kembara Merdeka Desa Madani 2023 itu.
Kembara berkonsepkan jelajah motosikal itu merentasi lima negeri iaitu Pulai Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan berakhir di Putrajaya membabitkan perjalanan selama empat hari.
Jelajah turut mempromosikan program-program Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) kepada umum selain menyemarakkan semangat dan erti sebuah kemerdekaan. – UTUSAN










