Keluarga harap laporan telus, rungkai semua persoalan - Utusan Malaysia

Keluarga harap laporan telus, rungkai semua persoalan

AHLI keluarga Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh menunjukkan gambar kenangan mereka sekeluarga di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: “Harapnya ia (laporan nahas) merungkai persoalan punca kejadian.”

Demikian luah adik kepada Allahyarham Idris Abdol Talib@Ramli, Abdul Qomar yang berkata, keluarganya sentiasa menantikan apakah keputusan daripada hasil siasatan yang dijalankan itu.

Katanya, mereka sekeluarga tidak terlalu mahu memberikan tekanan kepada pihak kerajaan kerana memahami siasatan yang dijalankan bukanlah tugas yang mudah.

“Sebagai ahli keluarga, memanglah kita ternanti-nantikan keputusan laporan ini.

“Apabila menteri kata nak umum, kita berharap untuk tahu apakah keputusannya.

“Kami bersedia dengan apa sahaja kemungkinan dan berharap agar laporan awal yang dikemukakan oleh kerajaan itu nanti adalah keputusan yang logik dan telus sekali gus me­rungkai segala dakwaan yang dikeluarkan pelbagai pihak,” katanya.

Tambahnya, pihak keluarga juga berharap dapat mende­ngar rakaman suara selama 30 minit daripada memory puck dalam perakam suara kokpit (VCR) pesawat berkenaan.

“Besar kemungkinan laporan awal yang dikeluarkan itu adalah dalam bentuk kenya­taan bertulis. Tapi, kami berharap dapat mendengar sendiri rakaman tersebut. Kalau dapat dengar sendiri, kami boleh tahu perkara sebenar dan boleh menarik nafas lega.

“Tapi, mungkin agak mustahil untuk kami dapatkan rakaman itu dan kami memahami tugasan pihak terlibat dan tidak mahu terlalu menekan pihak kerajaan,” katanya.

Di Sungai Petani, Kedah, ahli keluarga Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, berharap pihak terlibat dapat menggunakan laporan nahas tersebut untuk penambahbaikan supaya tragedi seperti itu tidak berlaku lagi pada masa depan.

Adik mangsa, Norhikmah, 26, berkata, mereka sekeluarga sudah reda dengan pemergian abangnya dan menganggapnya sebagai suratan takdir yang te­lah tertulis.

“Kami sekeluarga menerima hakikat tragedi nahas pesawat tersebut merupakan satu kemalangan yang turut meragut nyawa abang sulung kami meskipun arwah tidak berada di dalam pesawat tersebut.

“Hasil laporan VCR pesawat berkenaan mungkin lebih pen­ting bagi ahli keluarga mangsa-mangsa yang berada di dalam pesawat berban­ding kami,” katanya ketika dihubungi di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN