Kekasih baharu Anis Al Idrus? - Utusan Malaysia

Kekasih baharu Anis Al Idrus?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RASANYA ramai yang sudah tahu rumah tangga pelakon dan pengacara, Anis Al Idrus sudah terlerai tahun lalu. Berbulan juga dia menyimpan rahsia. Mungkin itu fasa mengumpul semula serpihan hati kot.

Namun baru-baru ini, sedang Poklip elok menikmati secangkir kopi, ada seorang rakan media ini terus bertanya, Anis sudah ada kekasih baharu ke? Bukan main romantis di media sosial?

Tanpa sesaat menunggu, Poklip terus bukan Instagram pengacara itu dan memang ada bayangan yang dia kini sedang meniti bahagia dengan seorang lelaki. Siap teman pergi main softball tau.

Baguslah sebab setahu Poklip, Anis pun suka bersukan. Berbasikal, jogging semua dia layan. Sampai boleh turun berat badan berpuluh kilo sebab dia semakin suka bersukan tau.

Cuma siapa gerangan lelaki tersebut, Poklip tidak tahu. Tak ada pula pelakon itu pautkan sekali akaun jejaka tersebut. Gambar pun sekadar dari belakang, tiada tunjuk muka.

Kata kawan Poklip tadi, banyak kali juga penyanyi lagu Mengapa itu memberi bayangan. Rasanya itu bukan sekadar mengusik peminat, tetapi macam sudah serius hubungannya.

Lagipun kita pun tahu, Anis bukan seorang yang suka mencanang perkara peribadi. Apatah lagi melibatkan hubungan cinta. Selepas kegagalan rumah tangganya, dia lebih berhati-hati.

Cuma bagi Poklip baguslah kalau betul Anis sudah berganti hati. Lagipun rasanya sudah lama dia hidup sendiri. Jika ada lelaki yang sudi melamarnya semula, apa salahnya. Dia bukan Kak Tesla.

Alang-alang bercakap pasal Tesla ini, harapnya bukan suami orang ya. Risau zaman sekarang ini, suami orang katanya nampak lebih macho daripada lelaki bujang. Minta jauh ya!

Seronok kumpul hutang ya?

Kasihan Poklip dengan nasib kru dan pelakon sebuah filem yang telah pun ditayangkan beberapa bulan lalu. Mana tidaknya, filemnya sudah habis tayangan, baki bayaran masih belum terlihat.

Ceritanya, ada seorang kru filem ini mengadu, katanya sehingga sekarang penerbit masih belum melangsaikan baki bayaran yang sepatutnya sudah berbulan-bulan selesai.

Setiap kali kru atau pelakon bertanya, ada sahaja alasan yang diberikan. Dana masih belum dapat, duit tak cukup atau syarikat ada masalah sedikit. Aduh, boleh jadi gila menuntut hutang ini.

Namun dalam diam, rupanya penerbit itu dikatakan semakin ligat meminjam duit daripada rakan-rakan pemain industri seni lain. Katanya ada filem baharu hendak diterbitkan.

Amaun yang dipinjam pun bukanlah kecil-kecil anak. Yelahkan, nak buat filem, takkan minta RM200 kan. Cuma yang tak seronoknya, bila ditanya tentang hutang, diam seribu bahasa.

Malah ada kru yang satu sen pun belum dapat bayaran kerana percaya dengan penerbit tersebut. Bila masa janji ditabur, bukan sekadar bulan, bintang pun dia boleh gapai tau.

Poklip sendiri pun tak faham dengan sikap orang yang suka berhutang ini. Seronok sangat ke kumpul hutang? Sampai menyusahkan ramai pihak. Bukankah itu lebih menyesakkan?

Kita tunggu sahajalah nasib penerbit tersebut. Jangan galak sangat sekarang. Industri seni kita ini tidaklah besar mana, Sekejap sahaja cerita sampai. Silap hari bulan, boleh meringkuk masuk dalam. Awas!

Sudah-sudahlah gimik bercinta

Jujur cakap, Poklip memang susah hendak percaya bila tiba-tiba sahaja ada gosip pelakon A bercinta dengan pelakon B. Lebih-lebih lagi kalau mereka sedang berlakon sama.

Bukan apa, sudah banyak kali sebenarnya pemain industri seni menggunakan modus operandi sama untuk melariskan sesebuah produk itu. Sama juga kalau penyanyi ‘kantoi’ bercinta.

Baru-baru ini, pelakon, Aedy Ashraf secara terbuka menolak gimik bercinta sebagai salah satu cara mempromosikan filem lakonannya. Sementelah, dia percaya naskhah tersebut ada nilai.

Gambar bersama pelakon, Ahirine Ahirudin yang mengundang kecaman segelintir warganet sedikit sebanyak memberi impak kepada dia. Mana tidaknya, peminat kan sedang ‘ship’ dia dan Amelia Henderson.

Tapi peliknya, walaupun sudah berpuluh artis guna cara promosi sama, masih ada segelintir warganet yang percaya bulat-bulat tau. Sampai buat akaun Instagram baharu dan tanda pagar bersama.

Sebab itu, Poklip tak terkejut jika ada pemain industri seni yang terperangkap dalam modus operandi tersebut kerana wujudnya golongan peminat yang mudah percaya dan tertipu.

Masalahnya bila drama atau promosi lagu sudah tamat, mulalah mereka merentan. Kononnya pasangan pelakon kesayangan mereka sudah putus cinta, Padahal, semua itu propa!

Sudah-sudahlah ya. Kalau betul naskhah itu bagus, tak perlu pun gosip cinta sana- sini. Banyak lagi cara promosi yang lebih ‘telus’. Boring lah!

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN