BESUT: Seorang kanak-kanak perempuan yang dulunya ceria kini berubah derita apabila disahkan menghidap barah saraf atau neuroblastoma tahap empat.
Tahap kesihatan Tuan Nur Afina Sofea Tuan Khalid, 9, dari Kampung Nail, Kuala Besut di sini mula terjejas sejak November 2020 dan semakin teruk sejak Jun lalu.
Ibu kanak-kanak itu, Nor Adibah Ahmad, 42, berkata, pada mulanya, penglihatan mata kanan Sofea tidak begitu jelas dan rahang sebelah kanannya juga menjadi bengkak.
“Tak lama selepas itu, mata kirinya juga alami simptom yang sama dan Sofea juga tidak dapat melihat seperti biasa. Paling menyedihkan bengkak pada bahagian kepala Sofea juga semakin membesar dan menjejaskan pergerakannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Anak bongsu daripada empat beradik itu bagaimanapun masih sempat menghabiskan sesi persekolahan ketika berada di Tahun Dua, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Nail.
“Dalam kesakitan, dia tetap gigih hadir ke sekolah selama setahun. Ramai guru kata Sofea seorang murid yang aktif dan ceria ketika berada di sekolah.
“Cita-citanya ingin menjadi seorang ustazah namun penyakit ini telah merenggut impian Sofea.
“Memang sedih sebab tahun ni, Sofea langsung tidak boleh pergi ke sekolah kerana tidak lagi mampu berjalan seperti biasa. Dia perlu didukung, malah paling menambah luka di hati saya apabila doktor menganggarkan umurnya tidak panjang,” katanya sebak.
Nor Adibah yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai makan terpaksa berhenti kerja sejak Mac lalu kerana mahu menjaga anaknya itu manakala suaminya, Tuan Khalid Tuan Hamat, 44, yang bekerja sebagai nelayan juga semakin kerap tidak turun ke laut kesihatan Sofea semakin membimbangkan.
Nor Adibah berkata, Sofea telah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak 16 sesi selama setahun namun kuman kanser telah merebak dengan cepat ke bahagian organ tubuhnya yang lain.
“Selera makan juga turun mendadak menyebabkan berat badan Sofea menyusut sehingga 13 kilogram (kg) berbanding semasa sihat, beratnya adalah 27 kilogram.
“Sebagai ibu, saya akan melakukan yang terbaik untuk Sofea, malah walaupun masih kecil namun Sofea dilihat lebih matang dari usianya dan sering bercakap tentang hal kematian dan syurga sejak akhir-akhir ini.
“Sofea sering mengingatkan tentang solat dan mahu adik beradiknya mempelajari ilmu agama dan mendalami al-Quran sebagai bekalan di akhirat kelak,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Agro Bank Nor Adibah Ahmad (2006361000330941) atau CIMB Bank Tuan Khalid Tuan Hamat (1111841100071469) atau menghubungi talian 011-25484775 untuk maklumat lanjut.-UTUSAN










