Kanak-kanak bawah 16 tahun paling ramai jadi mangsa liwat

Kanak-kanak bawah 16 tahun paling ramai jadi mangsa liwat

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkenalan da­lam media sosial antara modus operandi digunakan penjenayah untuk memerangkap kanak-ka­nak berusia di bawah 16 tahun sebagai mangsa jenayah kes luar tabii termasuk liwat.

Rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati, peringkat umur di bawah 16 tahun paling ramai menjadi mangsa kes luar tabii termasuk kes liwat dengan melibatkan 407 orang bagi tahun 2018 sehingga 31 Ogos lalu.

Dalam tempoh sama juga, turut menjadi mangsa iaitu se­ramai 136 orang kanak-kanak ber­usia diantara 16 tahun sehingga 18 tahun ke atas.

Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam tempoh lima tahun mengikut kontinjen seluruh Malaysia sejak 2018 sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 543 kes disiasat melibatkan kes luar tabii termasuk kes liwat.

Kata beliau, Selangor mencatatkan jumlah kes pa­ling tinggi iaitu sebanyak 167 kes pa­da tempoh berkenaan diikuti Kua­la Lumpur (83 kes); Johor (72 kes); Sabah (43 kes); Kedah (45 kes); Pahang (38 kes) dan Pe­rak dengan 32 kes serta lain-lain negeri.

“Kanak-kanak berusia di ba­wah 16 tahun ini berisiko menjadi mangsa jenayah kerana ke­upayaan mental mereka yang muda ini tidak mampu membezakan sesuatu maklumat me­lalui media ini sama ada baik atau buruk.

“Melalui media sosial sahaja sudah cukup untuk penjenayah ini berkenalan dengan berkomunikasi secara seksual selain merayu dan memberikan hadiah atau ganjaran yang mendorong kanak-kanak ini tertarik dengan aktiviti seksual.

“Akhirnya berjaya mendorong mangsa berjumpa dan berkongsi gambar tubuh badan atau bahagian-bahagian badan yang sulit sebelum gambar-gambar ini digunakan oleh suspek untuk mengugut mangsa bagi tujuan habuan seks dan pemerasan wang serta barang berharga,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, sebanyak 312 kes diterima PDRM disiasat mengikut Seksyen 377 (c) Kanun Ke­seksaan (KK) kerana melakukan persetubuhan dengan aturan luar tabii tanpa kerelaan diikuti 125 kes lagi disiasat mengikut Seksyen 377 (C) (A) KK iaitu perhubungan seks menggunakan objek ke dalam faraj atau dubur seseorang lain tanpa kebenaran.

Ujar beliau, sebanyak 121 kes disiasat mengikut Seksyen 377 (D) KK diikuti Seksyen 377 (B) KK (22 kes); Seksyen 377 (A) KK (17 kes) dan Seksyen 377 (E) KK (10 kes).

Kata beliau, kaum Melayu merekodkan jumlah pelaku tertinggi iaitu 484 orang tangkapan dilakukan dalam tempoh sama diikuti India (58 tangkapan); Cina (33 tangkapan); bumiputera Sabah dan warga asing (masing-masing 30 tangkapan); bumiputera Sarawak (lapan orang) dan orang asli tujuh tangkapan.

“Daripada jumlah itu, 522 kes membabitkan pelaku berusia 18 tahun ke atas dan 128 kes lagi terdiri mereka berumur bawah 18 tahun,” jelasnya.

Mohd. Shuhaily turut mengingatkan ibu bapa agar peka dengan trend jenayah masa kini dan sampaikan kebimbangan dan kesedaran jenayah masa kini ke pengetahuan anak-anak supaya lebih berhati-hati bergaul.

Ujar beliau, ibu bapa atau penjaga dinasihatkan sentiasa prihatin dan mendengar luahan anak-anak berkaitan kejadian dan memberi sokongan emosi dan moral kepada mangsa dan elak perbuatan menyalahkan mangsa dalam situasi berkenaan.

“Mereka juga tidak boleh berdiam diri, berunding atau bersengkongkol dengan pihak pelaku untuk menyelesaikan kes dengan cara yang mudah atau perbuatan yang memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak tanpa mengambil tindakan untuk membela hak mangsa.

“Tampil dan buat laporan polis di balai polis berdekatan supaya bukan sahaja penjenayah mendapat hukuman yang setimpal atas apa yang dilakukan ke atas mang­sa, bahkan ia sebagai langkah pencegahan bagi mengelak lebih ramai kanak-kanak lain terjebak sebagai mangsa,” ujarnya.

Kata Mohd. Shuhaily lagi, laporan polis yang dibuat segera membolehkan siasatan cepat dilakukan bagi mengelakkan kehilangan keterangan digital atau bukti lain yang mungkin dihapuskan oleh suspek untuk mengelakkan mereka dikesan atau mereka dikaitkan dengan jenayah yang dilakukan.

“Pantau aktiviti anak-anak termasuk penggunaan gajet dan telefon bimbit selain menyemak laman-laman sesawang yang anak-anak pernah layari dan mengambil tahu media sosial yang sering digunakan dan memantau pergaulan anak mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN