TEMERLOH: Seorang bekas pekerja ladang Sime Darby Sungai Tekal, Kuala Krau di sini, Kamaruddin Abdullah, 70, menarik perhatian ramai termasuk kaum India kerana fasih berbahasa Tamil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Kamaruddin berkata, dia menguasai bahasa Tamil sejak kecil berikutan keluarganya bekerja di Ladang Sungai Tekal, Kuala Krau sejak 1950an.
Katanya, sebelum memasuki alam persekolahan lagi, rakan sepermainannya adalah kanak-kanak India kerana 99 peratus pekerja ladang adalah etnik itu yang dibawa Inggeris dari Benua Kecil India.
“Tidak hairanlah saya boleh bertutur dengan fasih bahasa Tamil asli India yang jarang dikuasai oleh generasi baharu India selepas dekad 1980an.
“Sekolah awal saya di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) ladang Sungai Tekal, Kuala Krau dari 1960 hingga 1966 membolehkan saya menulis dan membaca tulisan Tamil dengan cekap,” katanya Ketika ditemui di Taman Rimba Jaya Temerloh di sini semalam.
Kamaruddin berkata, ketika itu hanya sekolah terbabit ada kerana kedudukan ladang jauh di pedalaman dan jika hendak keluar ke Mentakab serta Jerantut perlu menaiki kereta api.
Tambah beliau, selepas tamat LCE pada 1969 di Sekolah Menengah Jalan Bahagia Temerloh, dia bekerja sebagai penjaga jentera elektrik dengan Sime Darby dan berhenti beberapa tahun kemudian untuk menceburi bidang perniagaan.
Rakan sekelasnya, Datuk Sudirman Arshad berkata, kebolehan Kamaruddin bertutur bahasa Tamil menjadi perhatian apabila perbualannya bersama rakan kaum India tular dalam aplikasi TikTok.
“Malaysia memang terkenal dengan sebuah negara yang berbilang kaum, kelebihan menguasai pelbagai bahasa seperti bahasa Melayu, Tamil, Inggeris Cina dan lain-lain satu kelebihan.
“Bagi sesiapa yang dapat menguasai lebih dari satu bahasa, dia akan dikira hebat dan istimewa. Bukan senang nak pelajar bahasa lain yang bukan bahasa ibunda,” katanya.
Beliau berkata, dia bukan sahaja petah bercakap bahasa Tamil, malah boleh bercerita apa sahaja topik dengan jiran-jiran menggunakan bahasa tersebut.
Seorang guru S. Anushiya Devi, 51, mengakui kagum dengan kebolehan luar biasa Kamaruddin yang mampu bercakap Tamil dengan fasih menggunakan dialek ‘halus’ Tamil.
“Saya menyedari kebolehan Kamaruddin yang juga seorang jiran baharu apabila terdengar perbualan dia dengan suami baru-baru ini.
“Saya berasa malu sebagai seorang generasi muda tidak sefasih Kamaruddin berbahasa Tamil, menulis dan membaca tulisan Tamil seolah-olah dia dari golongan orang tua-tua kaum India,” katanya.
Kaum India, Devan Arjuna, 55, menyifatkan Kamaruddin sebagai ‘permata ikatan’ antara kaum Melayu dan India di sebuah negara majmuk seperti Malaysia.
“Saya amat kagum dengan kebolehan Kamaruddin yang bertutur bahasa Tamil seolah-olah saya kembali kepada zaman nenek moyang yang berbahasa Tamil halus,” katanya.-UTUSAN










