Kali kedua Taman Serai Perdana dilanda banjir kilat

Kali kedua Taman Serai Perdana dilanda banjir kilat

KEADAAN banjir yang melanda kawasan Taman Serai Perdana di Bagan Serai, Perak hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Penduduk terlibat banjir di beberapa kawasan perumahan di sini mendakwa sistem perparitan yang tidak diselenggara dengan baik sebagai punca banjir kilat di kawasan mereka hari ini.

Dianggarkan banjir kilat di Taman Serai Perdana di sini melibatkan lebih 100 rumah selain banjir di Taman Mewah, Taman Prima dan beberapa tempat berdekatan Jalan Siakap di sini.

Penduduk yang ditemui berkata, ini kali kedua kawasan perumahan itu dilanda banjir selepas tahun 2021, berikutan hujan lebat sejak petang semalam sehingga pagi ini menyebabkan air melimpah daripada parit yang tidak diselenggara dengan baik.

Seorang penduduk terjejas banjir, Mohd Farid khalid, 35, berkata, dia menyedari rumahnya dilanda banjir pada pukul 6.30 pagi.

“Hujan lebat mulai 5 petang semalam hingga 9 malam kemudian bersambung mulai pukul 1 pagi hingga 4.30 pagi tadi. Pukul 5.30 lebat semula hingga 10.30 pagi.

“Ini menyebabkan kawasan ini dinaiki air yang berpunca daripada sistem peparitan yang tidak diselenggara dengan baik, jadi saya harap pihak yang berkenaan melihat sistem peparitan di kawasan perumahan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohd Naim Arbain, 32,  berkata, rumahnya dinaiki air sedalam kira-kira 0.3 meter ketika dia hendak menghantar anaknya ke sekolah.

“Banjir menyebabkan banyak peralatan rumah yang rosak dan saya menumpukan pada kerja membersihkan banjir yang masuk ke dalam rumah,” katanya.

Wan Mohd Adam Wan Ahmad, 37, berharap pihak yang berkenaan lebih peka terhadap aduan masalah sistem peparitan di kawasan perumahan itu terutama pemaju.

“Sebelum ini aduan telah dibuat kepada pemaju namun mengenai sistem peparitan di kawasan ini.

“Selain itu pam air yg dipasang pada kolam tadahan di sini tidak lagi efisien untuk mengeluarkan air dari kawasan ini dan perlu difikirkan kaedah lain dalam menangani isu banjir ini, banyak barang dan peralatan rumah penduduk yang rosak,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya