JKM kesan ibu kandung, waris bayi lelaki ditemukan di sekolah tahfiz - Utusan Malaysia

JKM kesan ibu kandung, waris bayi lelaki ditemukan di sekolah tahfiz

BAYI lelaki yang ditemukan di sebuah sekolah tahfiz di Besut pada  29 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang mengesan ibu kandung atau waris kepada seorang bayi lelaki yang ditemukan di sebuah sekolah tahfiz di sini, 29 Ogos lalu.

Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Besut, Zulbahri Ibrahim, ibu kandung atau waris bayi berkenaan dicari bagi tujuan penempatan semula selepas tempoh jagaan sementara tamat pada 6 Oktober ini.

Beliau berkata, bayi itu dijumpai seorang lelaki ketika sedang mengecat di kawasan sekolah tersebut sekitar pukul 8 pagi sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja dekat sini.

“Mahkamah Majistret Besut sebelum ini telah memerintahkan bayi malang ini untuk ditempatkan dalam jagaan di bawah institusi JKM mengikut Seksyen 25(2) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Tempoh jagaan sementara itu berkuat kuasa selama sebulan bermula pada 6 September lalu, namun sehingga kini JKM dan pihak polis belum dapat mengesan ibu kandung atau waris bayi berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Besut, Noradawiah Ab. Manaf di talian 09-6956042,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 29 Ogos lalu, akhbar melaporkan penemuan seorang bayi cukup sifat oleh seorang lelaki yang sedang mengecat di sebuah sekolah tahfiz selepas terdengar suara tangisan bayi.

Lelaki berkenaan kemudiannya mengikuti suara itu lalu terjumpa bayi yang berbungkus kain dan diletakkan di dalam bekas plastik di sebuah wakaf di luar pagar sekolah tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya