Jantan tidak lupa tragedi lapan polis maut diserang komunis

Jantan tidak lupa tragedi lapan polis maut diserang komunis

JANTAN Harun (kiri) menunjukkan gambar kenangannya ketika bertugas dalam pasukan Home Guard ketika ditemui di rumahnya di Kampung Paya Lebar, Air Kuning Selatan, Tampin, semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Tragedi serangan hendap komunis di Jalan Bukit Jalor, Air Kuning Selatan, di sini, pada 12 Ogos 1952 tidak akan dilupakan bekas anggota polis dan penduduk di kawasan itu.

Apa tidaknya, tragedi itu mengorbankan nyawa lapan orang anggota polis dan tiga orang anggota lagi cedera parah.

Seorang penduduk, Jantan Harun, 91, yang bertugas dalam Pasukan Kawalan Tempatan (Home Guard) memberitahu, ketika kejadian dia bertugas di dalam hutan.

“Ketika itu, sebuah lori balak telah dibakar komunis yang berang apabila lori berkenaan tidak membawa bekalan makanan untuk mereka. Sekumpulan polis diketuai seorang pegawai berbangsa India dan berpangkat Inspektor telah datang bagi kes berkenaan.

“Akhirnya mereka yang menyiasat kes itu telah diserang hendap dan lapan orang daripadanya terbunuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya yang terletak Kampung Paya Lebar, Air Kuning Selatan di sini semalam.

Turut hadir, Nazir Masjid Air Kuning Selatan, Mohd. Rosle Ismail.

Jantan turut berkata, dia bertugas sebagai sebagai Home Guard sehingga negara bebas daripada serangan komunis dan pernah ditembak di bahagian lutut dalam satu operasi mengesan komunis di Ulu Miku, Rembau.

“Saya tidak sedar langsung kena tembak di lutut, tiba-tiba sahaja rasa perit di bahagian kaki. Sebelum itu kumpulan kami sempat menembak mati dua orang komunis,” katanya yang kini dijaga oleh anak bongsunya Mohd. Nasir, 40.

Sementara itu, ahli Persatuan Sejarah Malaysia (PSM), Cawangan Johor Bahru, yang juga Ketua Bahagian Pengurusan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Deputi Superintenden Mansor Omar berkata, tragedi itu merupakan antara kisah di seluruh negara khususnya di Negeri Sembilan yang sempat dikumpulkan bukti serta saksi hidup pada tahun 2012.

Beliau yang mengumpulkan maklumat berkenaan atas inisiatif sendiri memberitahu, kebanyakkan saksi kejadian ini yang juga wira negara sudah pun meninggal dunia.

“Anggota keselamatan yang terbunuh itu sebenarnya balik dari menyiasat satu laporan kejadian sebuah lori kepunyaan orang kampung bernama Amat Tinggi yang dilaporkan telah dibakar komunis.

“Dalam perjalanan pulang dari tempat kejadian pasukan keselamatan diserang hendap komunis yang berkekuatan hampir 100 orang menyebabkan lapan anggota polis terbunuh di tempat kejadian.

“Ia berlaku di Bukit Jalor yang kini merupakan kawasan ladang penempatan peneroka Felda Bukit Jalor. Kesemua yang terkorban itu di bawa terus ke Hospital Besar Tampin oleh pihak tentera yang mengambil alih mengawal kawasan kawasan tersebut,” katanya lagi. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN