KUALA LUMPUR: Pembangkang harus berhenti bermain dengan sentimen tukar kerajaan kerana hal itu tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak.
Pada waktu ini, semua pihak perlu membenarkan kerajaan untuk fokus kepada rakyat dan negara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tempoh bercakaran dan kata-mengata antara kerajaan dan pembangkang sudah pun tamat sebaik sahaja Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai.
“Kerajaan Perpaduan mempunyai empat tahun lagi untuk memfokuskan kepada kestabilan negara dan beroperasi secara efektif serta untuk menjana ekonomi negara.
“Dalam tempoh tersebut, kerajaan mampu mewujudkan keyakinan dan kepercayaan kepada pelabur luar mahupun dalam negara.
“Sekiranya asyik bertukar kerajaan sahaja seperti penggal lalu di mana dalam tempoh empat tahun kita sudah bertukar tiga Perdana Menteri, sudah pasti tidak akan ada yang ingin melabur di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Program Aspirasi Keusahawanan Bumiputera (Mercu) 2023 di Hotel Premiera di sini, hari ini.
Semalam, sidang pengarang The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) menyarankan semua parti politik dalam kerajaan dan pembangkang melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) dinaungi Majlis Raja-Raja untuk menamatkan kekalutan politik termasuk manipulasi dan eksploitasi isu agama serta kaum.
Asyraf Wajdi berkata, tiada keperluan untuk memeterai MoU, tetapi pembangkang harus memainkan peranannya iaitu semak dan imbang (check and balance) kepada Kerajaan Perpaduan.
“Maksud Kerajaan Perpaduan adalah tiada pembangkang tetapi apabila tuanku bertitah hanya 19 parti setuju untuk menyertainya dan Perikatan Nasional (PN) ingin kekal menjadi pembangkang.
“Kemungkinan mereka ingin memainkan peranan sebagai pembangkang supaya dapat semak dan imbang kerajaan iaitu peranan pembangkang dalam sebuah negara demokrasi,” katanya. -UTUSAN