Jangan contohi kerajaan terdahulu sekat suara media - Utusan Malaysia

Jangan contohi kerajaan terdahulu sekat suara media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan tidak sepatutnya mencontohi sikap pentadbiran sebelum ini yang memandang pengamal media kritikal seperti musuh dan ancaman buat negara lebih-lebih lagi apabila pemimpin kerajaan sebelum ini dilihat sangat menekankan kebebasan bersuara dan media sewaktu belum memegang tampuk kuasa.

Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya menegaskan, pihaknya memandang serius kenyataan Gabungan Wartawan Kanan Negara yang tidak bersetuju dengan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) apabila bertindak sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian.

Katanya, SKMM bukan sahaja menyekat, malah memanggil pengamal media untuk memberi penjelasan mengenai kandungan di portal berita masing-masing yang seolah-olah seperti satu taktik intimidasi kerana mengeluarkan kandungan bersifat kritikal terhadap kerajaan.

“Tindakan ini jelas sekali berlawanan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara dan kebebasan media di dalam negara walaupun ia tidak mutlak. 

“Di dalam negara demokrasi, bukan mencelup jari dan memangkah sahaja yang penting, tetapi akses bebas dan adil kepada media juga sangat mustahak dalam menyampaikan maklumat dan pendapat kepada rakyat agar mereka dapat memilih pemimpin yang dirasakan terbaik mengikut maklumat dapat diakses,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Gabungan Wartawan Kanan Negara sebelum ini mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan SKMM yang kebelakangan ini bertindak seolah-olah sebagai ‘Abang Besar’ dengan sewenang-wenangnya menyekat kandungan dalam talian.

Mereka melahirkan kebimbangan kerana sejak akhir-akhir ini pengamal media telah dipanggil oleh SKMM untuk memberi penjelasan mengenai kandungan yang mereka bawa menerusi portal berita dan laman dalam talian masing-masing.

Pada masa sama, Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya menyatakan solidariti bersama pengamal media yang berhadapan dengan intimidasi dan sekatan oleh pemerintah. 

“Kebebasan bersuara bukan sahaja menjadi isu nasional, tetapi turut menjadi isu yang kritikal di dalam kampus dan dekat dengan hati mahasiswa yang memanfaatkan sepenuhnya hak yang diberi di dalam Perlembagaan demi mengangkat martabat mahasiswa walaupun berhadapan dengan tekanan daripada pihak atasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN