KUALA LUMPUR: Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong belum terfikir untuk menamatkan kariernya kerana percaya dirinya masih mampu menyumbang pingat kepada negara.
Penerjun berusia 33 tahun itu menegaskan, bersara tiada dalam ‘kamus’ hidupnya ketika ini dan perkara itu juga tidak pernah terlintas di fikirannya.
Katanya, fokus utama musim ini adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun pada September ini sebelum memikirkan perancangan jangka panjang kariernya.
“Belum lagi, buat masa ini saya masih mahu terus beraksi dalam sukan terjun.
“Saya ambil pendekatan selangkah demi selangkah dan memberi tumpuan kepada apa yang ada di hadapan terlebih dahulu tanpa memikirkan perkara yang terlalu jauh,” katanya kepada pemberita selepas Ujian Penilaian Terjun Kebangsaan di Pusat Akuatik Nasional, semalam.
Semalam, pemenang pingat perak Olimpik itu membuktikan keunggulannya apabila mendominasi ujian berkenaan dengan mengumpul 292.05 mata, mengatasi Nur Elisha Rania Abrar Raj (283.15 mata) dan Lee Yiat Qing (266.80 mata).
Mengulas mengenai prestasinya, Pandelela berpuas hati selepas kembali beraksi susulan berehat hampir lapan bulan akibat kecederaan bahu yang dialaminya ketika Kejohanan Akuatik Dunia 2025 di Singapura, Julai lalu.
Katanya, pencapaiannya itu lebih bermakna apabila berjaya melepasi Skor Kelayakan Minimum (MQS) 290 mata yang ditetapkan Akuatik Malaysia (MAS) untuk beraksi di pentas antarabangsa.
“Terjunan pertama merupakan yang paling sukar dan mencabar bagi saya, namun saya bersyukur dengan keseluruhan persembahan hari ini kerana berjaya melepasi MQS,” katanya.
Selepas berakhirnya ujian pemilihan itu, MAS akan menganjurkan Kejohanan Antarabangsa Kumpulan Umur Malaysia (MIAG) di Sarawak bulan depan bagi menentukan senarai akhir skuad ke Sukan Asia sebelum mengemukakan penyertaan rasmi kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).-UTUSAN










