PETALING JAYA: Isu kekurangan beras putih tempatan di beberapa negeri dijangka dapat diselesaikan dengan kemasukan bekalan baharu secara berperingkat dalam tempoh sebulan ke negeri terlibat.
Di PERLIS, bermula kelmarin, Kawal Selia Padi dan Beras Perlis mula mengedarkan sebanyak 50 tan metrik beras putih menerusi empat pengilang sebagai intervensi bagi menyediakan bekalan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, pihak Kawal Selia Padi dan Beras akan memberi fokus terhadap pekedai dan peruncit di dalam setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis bagi memastikan bekalan beras putih berada di dalam pasaran.
“Boleh dikatakan sebilangan kedai dalam kawasan Kangar, Arau dan Padang Besar telah menerima bekalan beras putih ini bagi menampung permintaan pengguna di negeri ini,” katanya selepas mengadakan perbincangan bersama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) semalam.
Terdahulu, Razali turut berkesempatan meninjau situasi bekalan beras putih tempatan di beberapa kedai pemborong bagi melihat situasi sebenar dihadapi pengguna di Perlis.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, beras import menguasai lebih 90 peratus di pasar raya dan kedai-kedai runcit sekitar Perlis berbanding beras tempatan yang sekadar melengkapi rak-rak makanan ruji itu.
Dalam pada itu Razali berkata, FAMA turut mendapat bekalan daripada pemborong yang dikenal pasti bagi menampung kekurangan beras putih tempatan dan telah membawa masuk sebanyak 10 tan metrik bekalan ke negeri itu.
“FAMA akan memberi fokus bagi menjual bekalan beras berkenaan di 25 outlet mereka dan menerusi Jualan Agro Bazar Madani yang diadakan pada setiap minggu,” katanya.
Sementara itu di JOHOR BAHRU, negeri tersebut menerima tambahan bekalan beras putih tempatan sebanyak 80 tan bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip memberitahu, bekalan tersebut disampaikan FAMA dan Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) secara berperingkat-peringkat bermula kelmarin hingga akhir minggu ini.
“Memang kita hadapi sedikit cabaran, tentang bekalan beras. Kerajaan negeri sedang susun program untuk bantu rakyat, kita akan lihat apa yang dijalankan Pusat kemudian disambung kerajaan negeri. Sebagai langkah intervensi beras, sebanyak 80 tan bekalan beras putih tempatan akan dibekal ke seluruh negeri menerusi empat pusat pengumpulan, iaitu di Johor Bahru, Simpang Renggam, Batu Pahat dan Tangkak.
“Bekalan tersebut akan diedar ke seluruh negeri, sebagai contoh pusat pengumpulan di Tangkak akan edar ke Muar dan Segamat, manakala Johor Bahru akan edar ke selatan negeri ini,” katanya.
Di MELAKA, tambahan sebanyak 500 tan metrik beras tempatan diluluskan untuk dibawa masuk bagi bulan ini dilihat dapat menampung keperluan rakyat serta mengurangkan kebergantungan pengusaha restoran terhadap beras import.
Ia mampu mengurangkan kenaikan mendadak harga makanan berasaskan nasi yang boleh menjejaskan pendapatan harian pengusaha restoran dan jumlah kunjungan pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, sejak Sabtu lalu, pemborong beras tempatan di Melaka telah mendapat kelulusan membeli 500 tan metrik makanan ruji berkenaan.
Katanya, sehingga kelmarin, jumlah beras tempatan yang masuk ke Melaka adalah 120 tan metrik manakala baki 380 tan metrik bakal menyusul sehingga hujung bulan ini.
“Saya telah minta Kawal Selia Padi dan Beras Melaka memantau teliti kesemua proses masuk dan keluar beras ini daripada pemborong sehingga ke kedai-kedai. Pada masa sama, saya telah minta FAMA menjalankan Program Agro Madani Khas untuk menjual beras tempatan di seluruh negeri,” katanya.
Dalam pada itu PULAU PINANG menjadi negeri pertama menerima bekalan beras tempatan menerusi program Intervensi Pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) bagi memastikan bekalan beras putih tempatan tidak terputus di pasaran.
Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan, Pembangunan Koperasi negeri, Fahmi Zainol berkata, menerusi program itu kerajaan negeri menerima 3,000 kampit bekalan beras tempatan yang kesemuanya seberat 30,000 kilogram untuk diedarkan kepada penduduk negeri itu. – UTUSAN










