Howard Lee jumpa polis petang esok

Howard Lee jumpa polis petang esok

HOWARD Lee memetik sebahagian ayat 59 surah an-Nisa’ dan mengaitkannya dengan pemimpin Pas yang didakwanya membawa fahaman Khawarij yang mengkafirkan umat Islam yang lain mengakibatkan beliau menjadi sasaran kecaman ahli dan pemimpin Pas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee sedia memberi kerjasama dan disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas dakwaan membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran baru-baru ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Howard Lee berkata, beliau akan memberi keterangan lengkap kepada polis yang dijadualkan kira-kira pukul 3 petang esok di Bukit Aman.

Katanya, beliau masih berada di luar negara pada hari sama, namun akan tiba di tanah air pada waktu pagi esok.

“Ya, saya akan beri kerjasama. Petang hari Selasa saya akan jumpa polis,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain mengesahkan kepada Utusan Malaysia bahawa Howard akan diambil keterangannya sebaik sahaja pulang dari luar negara.

Katanya, proses berkenaan akan dilakukan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan kepada Utusan Malaysia, polis membuka siasatan di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) itu supaya siasatan dan tindakan dikenakan terhadapnya kerana didakwa menghina Islam.

Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas Perak turut menyifatkan Chuan How cuba memprovokasi dengan menjadi pentafsir kepada al-Quran dan memutarbelit tafsir ayat 59 surah an-Nisa.

Dalam video dikongsikan di aplikasi TikToknya sebelum ini, Chuan How memetik sebahagian ayat 59 surah an-Nisaa’ yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Dalam video itu, beliau juga mengkritik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan sejumlah pemimpin parti yang didakwanya membawa fahaman Khawarij yang mengkafirkan umat Islam lain.

“Ustaz-ustaz dan kawan-kawan yang kuat mengaji pernah ceritakan tentang fahaman Khawarij dengan sikap takfirinya yang suka kafirkan orang dan hukum secara semberono orang masuk syurga atau neraka.

“Ustaz-ustaz fahamkan yang Haji Hadi dan segelintir pemimpin Pas sebenarnya sangat jelas bawa fahaman Khawarij, yang keluar dari ketaatan kepada Ulil Amri, keluar dari ketaatan kepada Saidina Ali (sebagai khalifah),” katanya.

Beliau kemudian memetik sebahagian daripada ayat 59 surah an-Nisaa’ tersebut dan mengaitkannya dengan usaha Pas dalam melawan kerajaan.

Katanya, pentadbiran sekarang adalah kerajaan yang sah kerana dipilih melalui pilihan raya, diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan diperakui dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru memperkotak-katikkan kerajaan sedia ada ini telah meniupkan roh Khawarij dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN