Hassan mahu PM jelaskan kes DNAA Zahid dalam sesi PMQT 

Hassan mahu PM jelaskan kes DNAA Zahid dalam sesi PMQT 

HASSAN ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen kerajaan menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan perkara berkaitan kes pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menerusi Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), pada mesyuarat Dewan Rakyat akan datang. 

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beliau boleh mempertahankannya, namun memohon supaya Perdana Menteri menjelaskannya sendiri berkaitan kes Timbalan Perdana Menteri itu bagi menokhtahkan segala cakap-cakap berhubung isu itu.

“Kalau tidak dalam masa terdekat ini, waktu sidang PMQT di mana ada masanya, saya minta beliau jelaskan sendiri (berkenaan kes DNAA Ahmad Zahid).

“Saya percaya, apa yang beliau kata pada saya antara dua orang sahabat, pemimpin dan anggota parti, saya berhak untuk percaya kepada apa pemimpin saya cakap. 

“Saya tidak akan mencampak pemimpin saya di bawah bas. Saya akan pertahankannya dalam Dewan ini. Tetapi, untuk berlaku adil, supaya sahabat-sahabat di blok pembangkang dan kami dalam backbencher (penyokong kerajaan), mahu dengar daripada Perdana Menteri sendiri supaya isu ini boleh dinoktahkan.

“Apa yang dilaporkan dalam akhbar dari segi undang-undang adalah cakap-cakap,” katanya sebelum perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bersambung di Dewan Rakyat hari ini. 

Mengikut amalan biasa sejak Februari lalu, Perdana Menteri, akan menjawab soalan semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada setiap Selasa dalam tempoh mesyuarat Dewan Rakyat.

Hassan sebelum ini pernah mengkritik Anwar berhubung pembentukan Kerajaan Perpaduan dengan  mengaitkan keputusan itu bertentangan slogan ‘reformasi’ yang dilaungkan kerajaan hari ini.

Pada 5 September lalu, Hassan membangkitkan pelbagai persoalan mengenai keputusan DNAA Ahmad Zahid menerusi puisi bertajuk ‘Sajak DNAA’ di Facebooknya. 

Beliau seakan meluahkan kekecewaan berhubung keputusan berkenaan dan mempersoal perundangan negara yang didakwa mengamalkan ‘sistem dua darjat’.

“Keputusan dilepas tanpa dibebas diberi begitu mudah saja. Begitu santai santai kelihatannya. Lalu aku bertanya di manakah kedaulatan undang-undang yang ada?

“Yang kerap diulang sebut di bulan kemerdekaan ini. Jangan murka bila aku menyoal lagi benarkah Perlembagaan negaraku ini luhur? Tiada dua darjat dalam tafsiran hukum? Satu untuk rakyat jelata. Satu lagi untuk mereka dari elit berkuasa?” katanya memetik puisi itu.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya