Hasil kutipan saman trafik RM302.43 juta dalam tempoh 8 bulan  - Utusan Malaysia

Hasil kutipan saman trafik RM302.43 juta dalam tempoh 8 bulan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kira-kira RM302.43 juta berjaya diperoleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas 3,820,526 notis saman trafik diselesaikan bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

Jumlah tersebut meningkat hampir 136 peratus berbanding tahun lepas (2022) yang hanya mencatatkan kutipan sebanyak RM127.87 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, kewujudan aplikasi MyBayarSaman antara penyumbang peningkatan pembayaran saman bagi agensi itu.

“Tahun lepas (2022) sahaja melalui sistem MyBayarSaman mencatatkan kutipan sebanyak RM37.59 juta membabitkan 207,217 notis saman berjaya diselesaikan.

“Berbeza dengan tahun ini, direkodkan sebanyak RM169.28 juta membabitkan 2.43 juta jumlah saman,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Menurut beliau, semakan mendapati pembayaran saman melalui aplikasi MyBayarSaman bagi tahun lepas sahaja melibatkan 1,338,956 pengguna.

“Bagi tahun ini pula (setakat Ogos) kita merekodkan sebanyak 1,106,734 pengguna melunaskan bayaran mengikut aplikasi itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak 6.44 juta saman bagi tahun 2022 manakala pada tahun ini (setakat Ogos) direkodkan sebanyak 1.91 juta saman.

Dalam perkembangan lain Mat Kasim berkata, kemalangan maut pada tahun ini melibatkan 4,366 orang.

“Dua per tiga daripada jumlah kemalangan itu disumbangkan oleh penunggang motosikal (2,641 kematian).

“Kebanyakan mereka merupakan remaja berusia 14 tahun sehingga 35 tahun,” katanya.

Pihaknya turut mengesan penggunaan motosikal kini diguna pakai ramai orang awam susulan antara kenderaan ekonomi selain pengangkutan awam.

Bagaimanapun Mat Kasim menegaskan, aktiviti pengubahsuaian motosikal dan melanggar peraturan jalan raya adalah ditegah sama sekali sehingga mampu menyebabkan kematian.

“Sehingga kini, kita dapat lihat remaja (belum layak miliki lesen) sudah menunggang motosikal untuk ke sekolah, tanggungjawab dari pihak ibu bapa perlu memainkan peranan dalam hal ini.

“Perlu pastikan mereka miliki lesen kenderaan dahulu agar mereka menunggang dengan selamat dan patuhi undang-undang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya