Gunung Jerai, Iboi masih berisiko berlaku kepala air

Gunung Jerai, Iboi masih berisiko berlaku kepala air

SAIFUDDIN Abdullah (kiri) bersama anggota APM memeriksa keadaan enjin bot serta peralatan menyelamat di Pejabat Pertahanan Awam Daerah Kota Setar di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kampung Iboi di Baling dan kawasan peranginan di kaki Gunung Jerai, Yan dekat sini masih diletakkan dalam kategori kawasan berisiko tinggi berlaku bencana kepala air terutama pada musim hujan ketika ini.

Menurut Ketua Bahagian Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah, dua kawasan terbabit merupakan antara 39 lokasi panas di negeri ini yang berisiko tinggi berlaku tragedi berkenaan.

Katanya, Baling menjadi daerah yang mempunyai paling banyak ‘hot spot’ iaitu 11 lokasi antaranya Lata Celak; Lata Bayu; Kuala Kedua; Lata Bukit Hijau; Teratak Simpul; Air Panas Ulu Legong dan Lubuk Badak.

“Kawasan peranginan Titi Hayun pula antara enam lokasi berisiko di Yan selain Air Terjun Seri Perigi; Air Terjun Batu Hampar; Taman Rekreasi Sungai Badak; Sungai Bukit Kuari dan Kem Rekreasi Puteri Mandi,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. 

Khamis lalu, dua pengunjung wanita terperangkap dan salah seorangnya tercedera dalam kejadian terbaharu kepala air di Lata Bayu sebelum mereka berjaya diselamatkan anggota APM.

Sementara itu, Saifuddin berkata, Sik pula merekodkan lima lokasi berisiko iaitu Lata Mengkuang; Pusat Peranginan Rimba Taqwa; Lata Charok Rambai; Lata Batu Hampar Hujung Bandar dan Sungai Viral.

“Sehubungan itu, APM ingin menasihatkan orang ramai terutama pengunjung pusat peranginan berisiko agar berhati-hati dan peka dengan keadaan cuaca.

“Dalam keadaan hujan lebat, terdapat risiko berlaku kepala air dengan ia turut melibatkan aliran puing atau debris seperti batang pokok dan ranting yang boleh menyebabkan mangsa dihanyutkan arus dan lemas,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai perlu berjaga-jaga sekiranya mengesan tanda-tanda berlaku kepala air seperti awan gelap di puncak gunung, air bertukar keruh, air deras disertai ranting kayu dan daun kering selain air sungai berbuih.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk meninggalkan kawasan peranginan secepat mungkin sekiranya berlaku hujan lebat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan terdapat 357 lokasi panas banjir di negeri ini dengan tumpuan kawasan berisiko adalah di lembangan Sungai Muda. 

“Justeru, bagi menghadapi Monsun Timur Laut, seramai 1,100 anggota APM dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bencana kepala air dan banjir.

“Kita mempunyai kekuatan logistik melibatkan 38 kenderaan darat serta 58 kenderaan air terdiri daripada 56 bot aluminium dan dua bot sealegs,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya