KUALA LUMPUR: Sepanjang 43 tahun bergelar anak seni, penyanyi, Datuk Francissca Peter terharu kerana pertama kali dihadiahkan sebuah patung yang menyerupai dirinya.
Patung yang dihasilkan Wesley Anak Juntan, 36, itu diinspirasikan daripada persembahan Francissca, 62, ketika menyanyikan lagu Sekadar Di Pinggiran di Anugerah Juara Lagu 1986.
“Hadiah ini sangat istimewa kerana tiada sesiapa pernah hadiahkan patung seperti ini kepada saya. Dulu kita selalu peluk patung di kedai tapi kali ini, patung ini menyerupai saya.
“Saya tidak pernah letak apa-apa piala di dinding rumah. Kebanyakannya disimpan kecuali piala Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat yang saya terima pada tahun 2020.
“Tapi untuk patung ini, sememangnya akan saya letak di ruang tamu untuk orang lihat. Ia sangat cantik,” katanya ketika ditemui di Tannil Hill, pagi tadi.
Memandangkan patung tersebut dihasilkan oleh seorang jejaka berumur 36 tahun, Francissca terharu kerana dirinya dihormati dan muziknya didengari oleh generasi berbeza.
“Patung ini seperti vinyl, ia barang antik. Saya sangat hargai bagaimana Wesley berusaha cari warna baju yang sama dengan penampilan saya pada tahun 1986 dulu.
“Wesley lahir di generasi berbeza. Saya terharu dan berasa rendah hati apabila generasinya menganggap saya seperti ikon perpaduan buat Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Dalam pada itu, Wesly memaklumkan mengambil masa satu bulan untuk menyempurnakan patung tersebut.
“Tempoh tersebut termasuk proses merangka idea. Saya ambil masa yang lama untuk mencari kain yang sesuai kerana semasa pertandingan itu Francissca pakai baju kebangsaan.
“Bagi saya dia adalah ikon perpaduan. Dia boleh berjaya dan bernyanyi dengan bagus lagu berbahasa Melayu walaupun dia bukan berbangsa Melayu,” tambahnya.
Wesley aktif menghasilkan boneka di bawah koleksi Borneo Doll sejak pandemik COVID-19. Setakat ini dia telah menghasilkan lebih 500 buah patung.