Esok hari penentuan, siapa bakal jadi pilihan? - Utusan Malaysia

Esok hari penentuan, siapa bakal jadi pilihan?

BENDERA Parti Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan berkibar sempena PRK Parlimen Pulai di sekitar Taman Kemas, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERAMAI 167,108 pengundi di kawasan Parlimen Pulai dan 40,488 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat yang baharu, esok.

Berdasarkan kepada PRN lalu, dalam tempoh beberapa jam yang berbaki, calon-calon dan parti politik yang bertan­ding pastinya menggandakan usaha meraih lebih ba­nyak sokongan.

Selain mengadakan walk­about, calon-calon dan jentera parti turut mengadakan ce­ramah berkelompok dan ce­ramah perdana.

Sebagai penyandang di ke­dua-dua kerusi tersebut, pas­tinya calon Parti Amanah Negara (Amanah) yang mewakili Pakatan Harapan (PH) paling ‘berdebar’ mempertahan kedua-dua kerusi tersebut.

Malah ini percubaan kali ketujuh oleh Suhaizan Ka­yat dalam pilihan raya pa­ling mencuri tumpuan ini. Apa tidaknya, adakah beliau mampu memberikan kemenangan kepada PH di Parlimen Pulai atau te­rus kempunan seperti percubaan sebelum ini?

Begitu juga Ir. Nazri Abdul Rahman yang diberi kepercayaan kali pertama oleh Amanah sebagai calon di DUN Simpang Jeram. Apakah kepercayaan itu mampu dibalas dengan kemenangan?

Walaupun mewakili kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun ramai menjangkakan bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) di ke­dua-dua kerusi tersebut adalah satu lagi ujian getir bagi Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam ne­geri, baru-baru ini.

Walaupun berjaya me­ngekalkan penguasaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, namun keputusan PRN tersebut memperlihat gelombang hijau yang dibawa Perikatan Nasional (PN) berjaya mengikis penguasaan Kerajaan Perpaduan.

Malah kegagalan PH-BN menggugat tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu mencerminkan gelombang merah biru yang dibawa gabungan kedua-dua parti terbesar itu masih tidak mampu memecahkan penguasaan di ketiga-tiga negeri tersebut.

Selepas keputusan yang ‘mengecewakan’ pada PRN di enam negeri itu, berkemungkinan gelombang hijau tersebut bakal ‘berjangkit’ ke Johor.

Selain isu kerjasama antara PH-BN yang masih baru dan belum dapat diterima serta dihadam sepenuhnya oleh orang Melayu, khususnya penyokong tegar UMNO, kini keputusan kes mahkamah melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut boleh menjadi ‘duri dalam daging’ kepada PH-BN.

Walaupun isu gabungan PH-BN mula reda, keyakinan para pengundi Melayu dikeruhkan dengan isu pembebasan Presiden UMNO tersebut atas 47 pertuduhan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini.

Isu itu jika gagal ditangani dengan baik mampu menggugat sokongan, khususnya pengundi Melayu ter­hadap kedua-dua calon PH-BN.

Walaupun calon PH-BN di Parlimen, Suhaizan dilihat masih mendahului calon PN, Zulkifli Jaafar dan calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi, namun tidak mustahil kejutan boleh berlaku pada saat-saat.

Lebih ‘merunsingkan’ PH-BN, persaingan sengit antara Nazri dan calon PN, Dr. Mazri Yahya di DUN Simpang Jeram yang disifatkan pada tahap 50-50. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN