Erma pesan, jangan malukan diri sendiri - Nabila Huda - Utusan Malaysia

Erma pesan, jangan malukan diri sendiri – Nabila Huda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Kau pelakon hebat dan pernah menang trofi, jadi jangan cuba nak malukan diri.”

Itu ‘amaran’ pengarah dan penerbit, Erma Fatima kepada pelakon, Nabila Huda yang bakal membawakan watak ikonik, Nyai Sunarti dalam teater muzikal, Lantai T. Pinkie.

Nabila berkata, Erma yang pernah membawakan watak sama kira-kira dua dekad lalu memberi ‘amaran’ tersebut sebagai perangsang untuknya membawakan watak tersebut dengan lebih baik.

“Saya ada hubungi Erma untuk memaklumkan yang saya akan memegang watak Nyai Sunarti. Dia cakap sudah tahu selepas ternampak hantaran saya dalam media sosial.

“Saya turut meluahkan kerisauan kerana watak ini adalah yang paling berat sepanjang saya bergelar pelakon. Saya perlu menyanyi dan menari. Malah, bermonolog. Jadi itu tugas berat.

“Keyakinan itu ada cuma saya kena betul-betul menjiwai watak Nyai Sunarti ini. Satu tugas yang sangat berat tetapi, saya perlu buat yang terbaik,” ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Lantai T. Pinkie yang merupakan karya Sasterawan Negara (SN), Datuk Seri A Samad Said bakal dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP selama tiga hari bermula 6 Oktober depan.

Teater muzikal ini mendapat sentuhan Dr Rosminah Mohd Tahir sebagai pengarah dan diterbitkan CTRA Production.

Selain Nabila, Lantai T. Pinkie juga menampilkan Zera Hariz, Faysal Saad, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Datuk Jalaluddin Hassan, Linda Nanuwill dan ramai lagi.

Sementara itu, Nabila berkata, dia masih belum dapat menjiwai sepenuhnya watak perempuan kabaret itu dan berhasrta untuk bertemu Erma bagi menuntut ilmu.

“Sehingga kini, saya masih belum nampak watak Nyai Sunarti masuk dalam diri. Saya tak pernah menonton teater ini, jadi saya tak boleh nak bayangkan.

“Saya ada beritahu Erma yang saya mahu bertemu dengannya berkongsi pengalaman. Dia minta saya hafal dialog terlebih dahulu.

“Mungkin seminggu sebelum pementasan bermula saya akan pergi bertemu dengannya,” kongsinya.

Dalam pada itu, pelakon filem Rahsia itu berkata, dia masih terkapai-kapai untuk menjiwai watak Nyai Sunarti sehingga terbawa-bawa ke dalam kehidupan harian dan merisaukan suaminya.

“Selepas menjalani latihan selama hampir sebulan, baru saya sedar watak ini sangat berat. Bayangkan, saya kena bermonolog dalam tempoh yang agak lama. Menari dan menyanyi.

“Saya ada menyertai kelas muay thai untuk tambah stamina. Saya kena banyak berlatih menyanyi sambil menari. Sampai terbawa-bawa dalam kehidupan seharian hingga suami jadi risau. Ini baru dikatakan buku bertemu ruas,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya