Dua helikopter Black Hawk dijangka tiba seawal Disember

Dua helikopter Black Hawk dijangka tiba seawal Disember

MOHAMMAD Ab. Rahman (tengah) bergambar bersama barisan kepemimpinan Tentera Darat selepas Istiadat Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-29 di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tentera Darat Malaysia (TDM) dijangka bakal memperoleh dua buah helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk seawal Disember ini dari Amerika Syarikat.

Mengesahkan perkara itu, Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohammad Ab. Rahman berkata, penerimaan dua helikopter tersebut adalah sebagai permulaan untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD).

“Helikopter Black Hawk proses perolehannya telah selesai, jadi dijangka Disember atau Januari kita akan terima dua buah dahulu.

“Justeru, kita juga akan hantar juruterbang untuk membuat latihan menggunakan simulator untuk mengendalikan Black Hawk. Mereka akan dihantar ke Turki pada Oktober ini,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan Penghargaan Panglima Tentera Darat Ke-29 di Kem Perdana Sungai Besi, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Menurutnya, penerimaan helikopter tersebut akan berlaku secara berperingkat dan akan dikendalikan sepenuhnya oleh juruterbang TDM.

Difahamkan, Malaysia dijangka memperoleh empat buah helikopter Sikorsky UH-60 Black Hawk dari Amerika Syarikat (AS) secara berperingkat.

Dalam perkembangan lain, Mohammad berkata, Kementerian Pertahanan sedang melaksanakan dokumentasi tender perolehan 18 meriam artileri jenis Self Propelled Howitzer (SPH) yang dijangka selesai Disember ini.

Beliau berkata, perolehan sistem persenjataan itu bukan sahaja merangkumi senjata malah ia juga mencakupi kenderaan-kenderaan dan insfrastukturnya.

“Memang betul kita (Tentera Darat) sedang dalam proses perolehan beberapa sistem persenjataan bagi mengukuhkan lagi tahap kesiapsiagaan kita.

“Perolehan sistem meriam artileri jenis 155MM Self Propelled Howitzer (SPH) antara projek perolehan yang menjadi keutamaan tentera darat dalam meningkatkan keupayaan elemen kuasa tindakan dan kesiagaan pasukan Rejimen Artileri Diraja.

“Perolehan ini melibatkan sebanyak 18 buah Meriam artileri SPH 155MM dan sekarang ia berada dalam proses pelaksanaan dokumentasi tender oleh Kementerian Pertahanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN