KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dimohon untuk meluluskan semula penyaluran dana kepada setiap Ahli Dewan Negara bagi memastikan mereka turut dapat membantu rakyat.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Zurainah Musa menyoal sama ada peruntukan khas untuk Ahli Dewan Negara masih ditangguhkan.
Katanya, perkara ini telah dibangkitkan beliau dalam Dewan itu pada persidangan lepas dan dijawab secara bertulis oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak Dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
“Armizan berkata ia merupakan peruntukan tambahan, penambahan dan pelengkap kepada peruntukan Rancangan Malaysia kelima tahun serta tertakluk pada kerajaan semasa.
“Saya memohon kepada Perdana Menteri untuk meluluskan semula penyaluran dana ini kepada para senator untuk membolehkan kami membantu masyarakat.
“Kami juga sama seperti Dewan Rakyat, kami ini dikatakan ‘Upper House’ kononnya. Berilah kami peruntukan kami, kalau boleh dalam minggu hadapan,” katanya dalam persidangan Dewan Negara di sini hari ini. – UTUSAN










