Dakwaan tafsir ayat al-Quran, Howard Lee minta maaf - Utusan Malaysia

Dakwaan tafsir ayat al-Quran, Howard Lee minta maaf

HOWARD Lee Chuan How dalam sidang akhbar mengenai dakwaan beliau membuat tafsiran sendiri potongan ayat al-Quran di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How hari ini tampil membuat permohonan maaf berikutan dakwaan beliau membuat tafsiran sendiri potongan ayat al-Quran daripada surah an-Nisa.

Menurut Howard Lee, permohonan maaf itu diharap dapat menghentikan sebarang polemik yang tercetus sehingga mewujudkan ketegangan ekoran penularan video berkenaan.

“Ada tuduhan bahawa saya mentafsir (ayat al-Quran), sebenarnya tidak. Saya cuma memetik menggunakan ayat itu.

“Apa pun yang saya ulas bukan sahaja agama Islam tetapi mana-mana topik bukan dalam kepakaran saya, kajian telah dilakukan sendiri termasuk talaqi dengan orang alim dan ustaz, barulah saya berani untuk membina pandangan. Itu pun saya tidak tafsir cuma memetik apa yang diajarkan.

“Bagaimanapun, saya ambil kesempatan ini untuk mohon maaf atas segala kesulitan yang wujud, bukan sahaja bagi pihak saya sendiri malah semua pihak termasuk rakan-rakan bukan Islam daripada Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) yang telah memetik ayat al-Quran dalam konteks politik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Komuniti Ahli Parlimen Ipoh Timur dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi di Jalan Pasir Puteh di sini hari ini.

Permohonan maaf itu dibuat Howard Lee selepas beliau selesai memberi keterangan kepada polis berkaitan isu tersebut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sekitar pukul 2 petang.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Dap itu berkata, beliau juga menyambut baik nasihat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki agar tidak mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang.

“(Permohonan maaf ini) bukan saranan daripada kepimpinan parti dalam Pakatan Harapan (PH), cuma ada cadangan termasuk daripada Asyraf Wajdi untuk meminta maaf bagi mengelakkan fitnah kepada saya dan agama.

“Kesilapan itu tidak semestinya apa saya cakap salah cuma membawa kegusaran kepada banyak pihak. Apa pun, saya berbesar hati dan terima baik cadangan beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Howard Lee yang juga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP turut menyuarakan rasa sangsi terhadap tindakan Pas apabila dilihat memilih ‘menyerang’ DAP berkaitan isu itu sedangkan ketika bersama dalam gabungan politik, perkara itu ‘dihalalkan’ Pas.

“Kenapa dahulu bila DAP berada dalam satu wadah dengan Pas, boleh dan digalakkan untuk belajar dan mendalami maksud dan maqasid di sebalik al-Quran, tapi sekarang pula tidak boleh.

“Saya juga sangsi, mengapa DHPP boleh sahaja baca dan lafaz dalam bahasa Arab ayat al-Quran dan saya pula yang tidak tafsir dan tidak lafaz pun diserang bertubi-tubi,” katanya.

Terdahulu, melalui sebuah video yang tular dalam media sosial, Howard Lee dikatakan telah mentafsirkan potongan ayat daripada surah an-Nisa.

Namun, Dewan Pemuda Pas Perak membidas dan menyifatkan Howard Lee sebagai kurang ajar dan cuba melakukan memprovokasi apabila mendakwa ahli Parlimen DAP itu menjadi pentafsir kepada al-Quran dengan memutarbelitkan tafsir ayat 59 surah an-Nisa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya