Bukan Islam boleh petik ayat suci al-Quran

Bukan Islam boleh petik ayat suci al-Quran

HOWARD LEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Individu bukan Islam boleh memetik ayat suci al-Quran bagi menyokong pandangan dan ucapan mereka selagi ia tidak berniat menyeleweng dan menjatuhkan agama Islam

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ahmad Yunus Mohd. Noor berkata, malah individu terlibat juga diharapkan terbuka hatinya menerima agama Islam sebagai pegangan hidup.

“Tidak jatuh hukum haram apabila orang bukan Islam memetik ayat-ayat al-Quran. Ia hanya jatuh hukum jika seseorang menyalah guna ayat menyebut ayat al-Quran dan tasfirannya dengan salah.

“Jika ada niat menyeleweng atau menjatuhkan imej agama, maka hukumnya haram dan wajib ke atas umat Islam untuk membetulkan dan mencegah mereka menggunakan ayat al-Quran sebagai punca dan dalil dalam percakapan mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee dalam video di aplikasi TikToknya memetik sebahagian ayat 59 surah an-Nisaa’ yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.”

Dalam video itu, beliau juga mengkritik Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan sejumlah pemimpin parti yang didakwanya membawa fahaman khawarij yang mengkafirkan umat Islam lain.

Beliau kemudian memetik sebahagian daripada ayat 59 surah an-Nisaa’ tersebut dan mengaitkannya dengan usaha Pas dalam melawan kerajaan.

Katanya, pentadbiran sekarang adalah kerajaan yang sah kerana dipilih melalui pilihan raya, diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong dan diperakui dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ekoran itu, pertubuhan Jalinan Bersatu Sahabat (Jabat) Perak membuat laporan polis terhadap bekas Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) itu supaya siasatan dan tindakan dikenakan terhadapnya kerana didakwa ‘menghina Islam’.

Sebelum ini, Dewan Pemuda Pas Perak turut menyifatkan Howard Lee cuba memprovokasi dengan menjadi pentafsir kepada al-Quran dan memutarbelit tafsir ayat 59 surah an-Nisa.

Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain mengesahkan kepada Utusan Malaysia bahawa Howard Lee akan diambil keterangannya sebaik pulang dari luar negara.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus berkata, berdasarkan pemerhatiannya, Howard Lee masih tidak melanggar batas-batas Islam berhubung kenyataannya menyentuh soal pemimpin seperti yang disebut di dalam surah berkenaan.

“Ayat yang disebutnya itu benar dan saya tidak nampak ada kesalahan dalam pentafsirannya berkenaan ‘ulil amri’ kerana maksud itu adalah umum.

“Ini semua orang tahu adalah perkara asas. Beliau hanya tidak boleh memberi pandangan jika menyentuh perkara khusus berkenaan Furu’ (masalah cabang),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×