Biadab desak veteran DAP berundur - Howard Lee - Utusan Malaysia

Biadab desak veteran DAP berundur – Howard Lee

Howard Lee Chuan How
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Desakan agar pemimpin veteran DAP berundur daripada bertanding dalam pemilihan parti hanya kerana mahu mengetengahkan golongan muda disifatkan sebagai biadab dan tidak munasabah.

Selagi layak, mendapat sokongan perwakilan untuk dicalonkan dan boleh menang, tiada sebab untuk seseorang pemimpin menghentikan khidmatnya daripada menggerakkan parti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How berkata, jika terus wujud desakan seperti itu, ia seolah-olah menidakkan hak pemimpin lama di bawah sistem demokrasi berperlembagaan.

“Sesiapa ahli yang ada sokongan dan dijadikan calon, seseorang boleh menerima atau menolaknya. Tidak eloklah jika dicalonkan tetapi tidak bertanding. Contohnya, Lim Kit Siang yang menjadi ahli CEC tetapi beliau hanya ahli biasa.

“Sedangkan semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan, beliau layak menjadi menteri tetapi menolaknya. Pemimpin lama juga mempunyai corak pemikiran berbeza daripada anak muda untuk menjadikan parti lebih baik mengikut cara tersendiri.

“Lagi pun, sebagai masyarakat Asia, kita perlu berpegang kepada prinsip menghormati orang tua, tidak kurang ajar,” katanya dalam satu temubual bersama Utusan Malaysia di ibu negara semalam.

Bulan depan, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP bakal beralih kepimpinan kerana Lim Guan Eng berada pada penggal terakhirnya sebagai Setiausaha Agung selaras dengan peruntukan perlembagaan parti selepas 17 tahun menjawat tugas besar itu.

Pemilihan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dijadualkan berlangsung pada akhir tahun ini bagaimanapun, difahamkan, kedua-dua pemilihan tersebut ditangguhkan kepada suatu tarikh yang sesuai.

Terdahulu, beberapa penganalisis berpendapat, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang perlu berundur dan DAP memerlukan suntikan semangat baharu yang lebih terbuka kepada pelbagai kaum, dan lebih ramai pemimpin muda.

Di awal pentadbiran PH pada Mei 2018, Kit Siang menolak menjadi menteri Kabinet dan berjanji akan bersara jika Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Namun, ia masih belum tercapai dan Kit Siang terus berperanan dalam DAP walaupun sebagai ahli biasa.

Sementara itu, ditanya berkenaan trend penyertaan golongan muda khususnya orang Melayu dalam DAP, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji itu berkata, lebih 40 peratus terdiri daripada golongan muda dan kurang 10 peratus Melayu.

Bagaimanapun, kata Howard, trend penyertaan orang Melayu di Ipoh, Perak membawa perubahan ketara sejurus selepas rampasan kuasa semasa Langkah Sheraton pada tahun lalu dengan sebilangan besar orang Melayu berusia 20 hingga 24 tahun menghantar banyak penyertaan keahlian DAP.

“Saya mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai DAP. Tetapi, saya akan tanya kepada mereka dahulu apa tujuan menyertai parti ini? Kalau hanya semata-mata nak jawatan, saya tanya balik, tahu atau tidak perjuangan DAP? Adakah anda sosialis demokratik?

“Selepas itu, barulah DAP buat keputusan sebab ahlinya tidak ramai. Ada juga yang menyuarakan ingin memelayukan dan mengislamkan DAP tetapi saya lebih kepada ingin memalaysiakan DAP,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN