PETALING JAYA: Sembilan lagi individu ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam sindiket mencuri kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM) seperti tular baru-baru ini.
Penahanan kesemua suspek ini dilakukan selepas siasatan lanjut dilakukan polis terhadap lima suspek termasuk empat daripada mereka iaitu anggota polis yang bertugas di Bahagian Unit MPV pada 19 September lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, semua suspek berusia antara 20 hingga 30-an yang terdiri lapan warga tempatan dan seorang warganegara asing itu telah ditahan di lima lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang.
Kata beliau, lima lokasi yang diserbu iaitu sebuah dua premis besi buruk di Kampung Sungai Kandis, Klang dan Batu 8, Bukit Kemuning, Shah Alam selain kawasan Industrial Park dan dua buah rumah di Petaling Jaya dan Taman Sentosa, Klang.
“Hasil penahanan kesemua suspek itu, enam kenderaan yang digunakan dalam aktiviti mencuri kabel itu dirampas.
“Kita (polis) juga telah merampas sebuah guni yang mengandungi wayar tembaga yang telah dibakar selain sebuah buku yang merekod jualan dan belian tembaga yang dicuri.
“Sehelai jaket pantulan cahaya berwarna hijau dan sebatang besi penyangkut penutup longkang juga kita (polis) rampas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata Mohamad Fakhrudin, bagi 1.2 tan wayar tembaga yang dibakar akan dijual dengan nilai RM100,000 kepada pembeli.
Kata beliau, sindiket ini dipercayai telah menjalankan aktiviti curi kabel ini sejak awal tahun ini dengan bantuan anggota polis yang ditahan.
“Kita tidak tolak kemungkinan anggota itu dibayar oleh ahli sindiket ini bagi melancarkan jenayah yang dilakukan oleh mereka,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, empat anggota yang ditahan akan digantung kerja dan sekiranya didapati mereka terlibat dalam kegiatan itu, pertuduhan akan dicadangkan untuk dikenakan.
“Seorang daripada empat anggota yang ditahan telah bertugas selama 15 tahun di dalam pasukan ini dan sudah pasti kita tidak berkompromi dengan sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan walaupun melibatkan penjawat awam,”ujarnya.
Kata Mohamad Fakhrudin, pihaknya masih mengesan dua lagi suspek yang masih bebas dan akan menyenaraikan mereka sebagai individu dikehendaki membabitkan kes ini.
“Kesemua suspek yang ditahan telah direman bagi siasatan di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan
“Semakan lanjut ke atas suspek yang ditahan mendapati mereka mempunyai rekod lampau dan dikehendaki membabikan jenayah dan dadah,” katanya. – UTUSAN