Che’gu Bard ditahan polis - Utusan Malaysia

Che’gu Bard ditahan polis

CHE'GU BARD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard ditahan polis di Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Penahanan itu dibuat susulan keengganannya memberi kerjasama atas proses siasatan terhadap enam kertas siasatan yang dibuka sejak Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, antara kesalahan melibatkan lelaki berusia 41 tahun itu adalah menyentuh isu blok Ambalat, pendedahan dokumen rasmi kerajaan dan beberapa kes yang lain.

Tegasnya, tangkapan tersebut tidak melibatkan ‘Himpunan Aman Selamatkan Malaysia’ yang dijadualkan di Masjid Jamek Kampung Baru, di sini, Sabtu ini.

“Tangkapan dibuat atas kegagalan memberikan kerjasamanya dalam enam kes disiasat polis.

“Dia sepatutnya hadir di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini untuk dirakam keterangan namun masih tidak memberikan kerjasama,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Dang Wangi di sini hari ini.

Antara kes yang disiasat polis berhubung kenyataan mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyerahkan Ambalat Kepada Indonesia, pendedahan dokumen kerajaan dan beberapa kes berkaitan dakwaan terhadap pemimpin kerajaan.

Kesemua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 203A KK, Seksyen 504 KK, Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Mohd. Shuhaily berkata, sebelum ini pihaknya telah memberikan notis terhadap Che’gu Bard namun enggan merakamkan percakapan.

“Pihak kami tiada pilihan selain memohon waran untuk melengkapkan siasatan ke atas enam kes tersebut. Kertas siasatan perlu dilengkapkan sebelum dikemukan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Ia satu proses siasatan, bukan untuk tuduh dan sebagainya. Tindakannya seolah mencabar proses siasatan dan perundangan negara. Kita tak mahu mengeluarkan waran tapi terpaksa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya