Skuad beregu Malaysia 'tidak berpeluh' benam Jepun

Skuad beregu Malaysia ‘tidak berpeluh’ benam Jepun

Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menggesa agar sistem 'Challenge' sepak takraw diubah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad beregu negara yang diwakili Aidil Aiman Zawawi dan Noraizat Nordin membuktikan mereka sememangnya pasukan pilihan untuk muncul juara Kumpulan A apabila membenam Jepun 15-9, 15-3, sebentar tadi.

Dalam aksi yang berlangsung selama 38 minit itu, Aidil Aiman dan Noraizat mempamerkan aksi konsisten untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini.

Kemenangan Malaysia itu banyak disumbangkan oleh kawalan bola ‘cantik’ oleh Aidil Aiman yang bertindak selaku pengumpan, manakala Noraizat atau pupular dengan gelaran ‘Ijat Bangau’ pula melakukan pelbagai variasi rejaman.

Pada akhir set kedua, sedar Malaysia berada jauh didepan, jurulatih beregu negara, Zulkarnain Arif membawa masuk Baihakki Aripin untuk menggantikan Noraizat dan peluang itu tidak disia-siakan oleh perejam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

BAIHAKKI Aripin melakukan libasan gulung selepas dibawa masuk pada hujung set kedua.

“Syukur atas kemenangan ini, saya awal set pertama saya mencari rentak dengan suasana dewan sehingga Jepun dilihat mampu memberi saingan, namun kami kembali bangkit dengan kawalan bola dan rejam tajam yang ditampilkan oleh Noraizat.

“Ini bukan perlawanan yang mudah, tetapi dengan latihan yang cukup… Inilah hasilnya. Terima kasih kepada semua penyokong yang daang ke stadium bagi memberikan sokongan kepada kami.

“Bagi saya, sistem kiraan mata baharu ini (sistem 15 mata dan giliran satu servis), kita kena bertahan dengan baik kerana permainan tidak lama, sekejap sahaja, tidak boleh lakukan kesilapan,” kata Aidil Aiman yang juga kapten skuad regu negara.

Dalam perlawanan kedua esok, Malaysia akan berdepan Brunei dan berdasarkan prestasi semasa, pemain negara dijangka tidak berdepan masalah untuk menumpaskan skuad yang dibimbing bekas jurulatih negara, Abdul Talib Ahmad itu,

Semalam, Jepun meraih kemenangan 15-13, 15-10 ke atas Brunei untuk mencerahkan peluang mereka untuk melangkah ke peringkat kalah mati, manakala anak buat Abdul Talib berdepan tugas sukar untuk menyekat Malaysia.

Sekiranya muncul selaku juara Kumpulan A, skuad negara dijangka berdepan sama ada Korea Selatan atau Singapura (naib juara Kumpulan D yang turut dianggotai Thailand) di peringkat suku akhir yang akan berlangsung pada Selasa.

Terdahulu, Thailand yang diwakili Seksan Tubtong dan Kittiphum Sareebut ‘tidak berpeluh’ untuk menumbangkan Korea Selatan 15-10, 15-6 bagi mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan D, manakala perlawanan Singapura menentang Korea Selatan berlangsung esok.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN