KUALA LUMPUR: Skuad regu sepak takraw negara tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 apabila melakar kemenangan kedua dalam peringkat Kumpulan B, sebentar tadi.
Trio utama negara yang diwakili Syahir Rosdi selaku tekong, Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) ternyata sukar untuk digugat apabila mempamerkan aksi konsisten untuk menumpaskan Brunei 15-7, 15-7.
Brunei yang yang diwakili Hafizuddin Jamaluddin, Aliffuddin Jamaluddin dan Zatie Hidayat Saidi gagal untuk mengimbangi set pertama khususnya untuk mengambil servis ‘kala jengking’ Syahir dan rejaman tajam Azlan.
Sedar Malaysia tidak berdepan masalah untuk berdepan Brunei, ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun mengeluarkan Azlan dan Syahir pada set kedua bagi memberi peluang kepada Shahalril Aiman Halim dan Haziq Hairul Nizam beraksi.

“Bagi saya, semua pemain belum mempamerkan aksi maksimum lagi, masing-masing masih mencari rentak untuk berikan yang terbaik. Jadi saya harap kami akan beraksi dengan lebih baik selepas ini khususnya di final.
“Bagi saya bermain di laman sendiri lebih tertekan, jadi kami lebih berhati-hati. Biarpun lawan China dan Brunei, kami tetap berikan yang terbaik untuk memastikan skuad negara menempah tiket ke saingan kalah mati.
“Dalam dua perlawanan, secara keseluruhan permainan kami meningkat tetapi bukan secara mendadak. kehadiran penyokong juga sangat membantu, sudah lama kami tidak merasainya dengan kali terakhir ialah semasa Sukan SEA 2017.
“Untuk perlawanan seterusnya kita tengok nanti Malaysia akan menentang siapa, tetapi mentaliti kami pasukan mana pun yang kita hadapi, kita akan anggap macam lawan Thailand dan berikan sehabis baik,” kata Syahir.
Terdahulu semalam, skuad regu negara menumpaskan China 15-6, 15-7 dan dua kemenangan itu menyaksikan skuad regu negara akan berdepan naib juara Kumpulan C yang dianggotai Korea Selatan, Filipina dan Singapura di suku akhir pada Selasa ini.-UTUSAN










