BENTONG: Calon Perikatan Nasional (PN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menghargai peranan kerajaan terhadap usaha pembangunan yang dilakukan di kawasan sini pada selama ini.
Sebaliknya Kasim Samat berkata, sepatutnya Pelangai menikmati perubahan pembangunan yang lebih besar sejak kepemimpinan bekas wakil rakyat Pelangai, Tan Sri Adnan Yaakob lagi.
Katanya, Adnan telah berkhidmat selama 36 tahun sebagai ADUN Pelangai dan 19 tahun sebagai Menteri Besar Pahang.
“Saya nak sebut, kalau Menteri Besar yang jadi YB sini sepatutnya lebih lagi pembangunan yang kita harapkan. Ada bank di sini? stesen minyak koperasi (pun) punya, balai bomba, ada?,” katanya ketika Ceramah Umum PN DUN Pelangai di Felda Chemomoi semalam.
Namun Kasim sebelum itu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan sejak dahulu yang melakukan pembangunan serta perubahan demi perubahan di DUN Pelangai.
Beliau mengakui perubahan yang dilakukan kepimpinan dahulu memberi keselesaan pada hari ini sambil berkongsi nostalgia mengharungi kesukaran hidup masa lalu.
“Terima kasih kerajaan terdahulu, YB kita yang terdahulu atas pembangunan yang telah diberi pada kampung kita,” katanya. –UTUSAN