JOHOR BAHRU: Calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar menolak dakwaan beliau kekok semasa berkempen bertemu masyarakat buat pertama kali dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai ini.
Sebaliknya, ahli perniagaan itu memberitahu, itu memang karakternya, sama seperti semasa menguruskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kawasan Kempas, selama ini.
“Pada saya itu bukan kekok, tetapi saya lebih suka santai apabila bertemu dengan orang ramai, itu memang karakter saya dan itu yang memang saya biasa buat semasa NGO dahulu.
“Saya juga rasa kaedah itu lebih sesuai apatah lagi apabila bertemu dengan rakyat biasa, khususnya di kawasan kampung-kampung, mereka juga suka apabila tidak terlalu ‘formal’,” katanya semasa menyantuni penduduk di Kampung Pasir, di sini hari ini.
Tambah Zulkifli, walaupun pencabarnya daripada Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat mempunyai pengalaman enam kali bertanding sebelum ini, tetapi beliau tidak berasa tertekan.
“Walaupun ini cubaan pertama kali, saya tidak berasa tertekan, saya lalui sahaja kempen ini. Alhamdulillah saya juga sudah semakin biasa dengan keadaan ini walaupun hanya tidur kira-kira tiga atau empat jam sahaja sehari,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberitahu pihaknya akan menukar corak kempen secara lebih agresif memasuki minggu kedua kempen PRK Parlimen Pulai, hari ini.
“Jentera juga sudah datang dari seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Kedah dan Perlis. Selain itu, kepimpinan tertinggi parti juga datang bantu, jadi sedikit sebanyak menaikkan lagi semangat saya.
“Insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik, apabila orang ramai memanggil saya dengan panggilan YB (Yang Berhormat), saya anggap itu sebagai satu doa, lama-lama jadi kenyataan,” jelasnya. – UTUSAN










