Biarlah kami nikmati kejayaan ini - Yusri - Utusan Malaysia

Biarlah kami nikmati kejayaan ini – Yusri

PEMAIN Perak FC, Wan Zack Haikal (kiri) kembali ke prestasi sebenar di bawah bimbingan jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Para pemain layak meraikan kejayaan Perak FC ke separuh akhir Piala Malaysia biarpun berdepan tugas paling berat apabila bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas ini.

Begitu kata Ketua Jurulatih pasukan Bos Gaurus, Yusri Che Lah selepas anak buahnya mengatasi Sabah 1-0 semalam untuk mara ke separuh akhir kejohanan berprestij itu dengan agregat 3-2.

“Pemain saya memberikan persembahan lebih seratus peratus untuk mengecap kejayaan ini.

“Kami akan bertemu pasukan handal Liga-M dan peluang untuk menang adalah tipis kerana setakat ini kami mengalami defisit 10 gol dalam dua pertemuan liga dengan JDT.

“Jadi saya kena berpijak di bumi nyata mengenai peluang kami pada separuh akhir nanti. Apapun biarlah saya dan anak buah saya nikmati kejayaan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Perak di sini semalam.

Menurut Yusri, sebagai jurulatih dia hanya memberi tunjuk ajar dan kata-kata perangsang sebaliknya pemain yang melaksanakan perancangan.

Menurutnya, Perak FC menghadapi pelbagai kesukaran sejak awal kempen Piala Malaysia kerana diundi bertemu pasukan kuat bermula dengan Kedah Darul Aman.

“Syukur Alhamdulillah dengan kerja kuat kami berjaya mara sebegini jauh. Kejayaan ini memberi nilai tambahan kepada pemain Perak FC,” katanya.

Pada perlawanan semalam, Perak FC mengatasi Sabah 1-0 menerusi jaringan Wan Zack Haikal dalam masa kecederaan babak pertama untuk ke separuh akhir dengan agregat 3-2 selepas terikat 2-2 pada suku akhir pertama di Likas.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah, Datuk Ong Kim Swee berkata, tidak timbul soal Sabah sengaja melepaskan cabaran dalam Piala Malaysia sebaliknya anak buahnya sudah berusaha habis-habisan namun nasib tidak menyebelahi mereka.

“Kami gagal memanfaat beberapa peluang gol yang dicipta, sebaliknya tuan rumah menyumbat gol diperlukan.

“Saya ucap tahniah kepada Perak, cara mereka main memang menunjukkan mereka ingin menang. Saya akur dengan keputusan ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya