PETALING JAYA: Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sentiasa komited dalam menyokong usaha kerajaan bagi memastikan bekalan beras putih tempatan mencukupi.
Menurut Bernas, permintaan ke atas beras putih tempatan semakin meningkat disebabkan perbezaan harga beras putih tempatan dan import.
“Peningkatan ini disebabkan peralihan permintaan daripada beras putih import kepada beras putih tempatan oleh pengguna, pembekal kontrak dan pemain-pemain industri makanan.
“Melalui peranannya sebagai ‘Buyer of Last Resort’ atau pembeli padi yang terakhir, purata pegangan pasaran padi tempatan Bernas hanyalah di sekitar 10 peratus manakala selebihnya dibeli dan diproses oleh kilang-kilang swasta.
“Namun, Bernas sentiasa komited dan menyokong semua program intervensi yang dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bagi menjamin bekalan beras tempatan,” katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Bernas memberi jaminan bahawa bekalan beras putih adalah mencukupi susulan kegusaran orang ramai berhubung kekurangan beras putih di pasaran.
Jelas Bernas, bekalan beras putih yang disalurkan tahun ini adalah lebih tinggi berbanding tahun sebelum ini.
“Dalam menguruskan bekalan beras import ke dalam negara, Bernas telah menyalurkan sebanyak 630,000/tm (tan metrik) dari Januari hingga Ogos 2023 iaitu peningkatan sebanyak 38 peratus lebih tinggi berbanding dengan purata jualan bulanan bagi tempoh tahun tahun yang lepas.
“Ini bermakna, bekalan beras putih adalah lebih daripada mencukupi tanpa kerajaan perlu menggunakan bekalan stok penimbal,” kata kenyataan itu. – UTUSAN










