MUAR: Walaupun berkerusi roda, ia tidak mematahkan semangat seorang warga emas menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram.
Salmah Amir, 69, juga tidak menyangka menjadi antara 10 pengundi terawal di pusat mengundi di Sekolah Agama Tun Dr. Ismail di sini.
Katanya, dia dimaklumkan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa dirinya merupakan pengundi pertama warga emas dan yang datang dengan berkerusi roda.
“Saya telah mengundi untuk kali ke-13 termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRK DUN Simpang Jeram, pada hari ini sememangnya akan datang awal kerana tidak mahu bersesak-sesak.
“Pada PRK hari ini saya datang bersama anak seawal pukul 7.30 pagi lagi dan alhamdulillah saya telah menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia untuk memilih pemimpin di kawasan ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, pengundi paling awal hadir ke Sekolah Agama Tun Dr. Ismail adalah pasangan rakan karib iaitu Yap Chin Yuen, 28 dan Yeo Jia Hui, 28.
Kata Chin Yuen, dia teruja mengundi buat kali ketiga dan tidak menyangka menjadi pengundi paling awal serta Jia Hui merupakan pengundi kedua.
“Kami berdua rasa lega apabila dapat menunaikan tanggungjawab kami dan berharap semua dapat menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih pemimpin di kawasan ini,” katanya. – UTUSAN