YAN: Paras air di Sungai Perupok di Kampung Perupok dekat sini terus mencatatkan peningkatan sehingga mencecah 3.71 meter iaitu paras bahaya disebabkan hujan berterusan sejak malam tadi hingga petang ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan, Leftenan (PA) Zul Izzi Zulkifli berkata, sehingga pukul 4 petang, dua kampung diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kerana dikhuatiri berlaku banjir kilat berikutan paras air sungai yang semakin meningkat.
Beliau berkata, antara kampung terbabit adalah Kampung Perupok dan Kampung Perigi.
“Hasil pemantauan mendapati paras air sungai yang terletak berdekatan dua kampung itu berada pada paras bahaya.
“Walaupun air sungai belum lagi melimpah ke kawasan sekitar penempatan, penduduk diminta supaya mengambil langkah berjaga-jaga,” katanya.
Pihaknya juga telah menggerakkan pasukan pemantauan membuat pemerhatian di Sungai Gurun dan Sungai Singkir untuk melihat keadaan semasa.
“Kita berharap penduduk yang mempunyai masalah atau terkesan dengan banjir kilat ini segera menghubungi pihak kita di talian 011-57509915,” katanya. – UTUSAN