MELAKA: Enam kematian melibatkan empat kes kemalangan di tempat kerja direkodkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di Melaka setakat bulan lalu, menjadikan sektor pembinaan kekal sebagai penyumbang tertinggi insiden berisiko.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, dalam tempoh sama, sebanyak 286 kes kemalangan tanpa kehilangan upaya kekal turut dicatatkan, manakala 10 lagi kes membabitkan kecacatan kekal.
“Statistik menunjukkan sektor pembinaan terus menjadi penyumbang utama kepada kes kemalangan serius terutamanya insiden jatuh dari tempat tinggi.
“Sektor pembuatan pula sering melibatkan kes kecederaan yang membawa kepada kehilangan upaya kekal,” katanya selepas merasmikan Sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH Week) 2025 Peringkat Negeri di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Katanya, tahun lalu tujuh kes kemalangan direkodkan melibatkan sembilan kematian.
Beliau berkata, operasi dan pemeriksaan keselamatan sentiasa dijalankan bagi memastikan tahap pematuhan dalam kalangan majikan dan pekerja berada pada tahap terbaik.-UTUSAN











