MELAKA: Kerja baik pulih lubang di Lebuh Ayer Keroh berhampiran susur Padang Jambu sedang dilakukan susulan video tular memaparkan rim motosikal seorang penunggang bengkok kerana terlanggar lubang itu, malam tadi.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Ir. Mohamad Salzeli Moktar berkata, lubang itu berpunca daripada pembetung (culvert) saluran parit yang pecah sehingga melemahkan struktur tanah di sekitarnya.
“Air mengalir keluar daripada culvert yang pecah itu, menyebabkan hakisan tanah dan terbentuknya lubang berukuran kira-kira 20 sentimeter (cm) diameter dengan kedalaman 1.5 meter (m).
“Kerja pembaikan telah dimulakan pagi ini dan dijangka siap dalam tempoh tujuh hari,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi kejadian.
Video berdurasi 49 saat di media sosial memaparkan seorang penunggang motosikal memberi peringatan kepada pengguna jalan raya dari arah Ayer Keroh agar berhati-hati ketika melalui kawasan yang merupakan laluan utama ke pusat bandar.
Rakaman itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang mempersoalkan bagaimana lubang boleh wujud pada jalan yang baharu sahaja diturap.
Mohamad Salzeli tidak menolak kemungkinan struktur tanah yang lemah menyumbang kepada pembentukan lubang apabila sering dilalui jentera berat ketika proses turapan sebelum ini.-UTUSAN










