KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan memberi bayangan negeri Sabah akan kekal menerima peruntukan bajet yang terbesar dalam Belanjawan 2024.
Beliau berkata, jika dilihat dalam bajet tahun ini, Sabah adalah negeri yang menerima peruntukan terbesar berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, dengan peruntukan sebanyak RM6.5 bilion.
“Kita sedar jumlah berkenaan masih tidak mencukupi sebab negeri ini luas dan kemudahan prasarana juga masih kurang.
“Maka, di bawah kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita akan terus memberi tumpuan kepada Sabah,” katanya semasa sesi jelajah Belanjawan 2024, di sini hari ini.
Beliau berkata, dari segi projek pembangunan merentas kementerian yang dilaksanakan di Sabah, bilangan projek meningkat kepada 1,144 projek berbanding 1,048 projek pada 2021.
Ahmad Maslan berkata, Sabah adalah negeri kelima yang dilawati dalam mendapatkan input bagi penyediaan Belanjawan 2024.
Dalam sesi dialog yang diadakan, antara isu yang dibangkitkan oleh peserta adalah isu kemudahan infrastruktur air dan elektrik, jalan raya, sekolah daif, klinik kesihatan, kadar pengangguran serta peluang pekerjaan.
Ahmad Maslan berkata, kerajaan akan memberi tumpuan bagi menyelesaikan isu-isu yang berbangkit ini menerusi peruntukan dalam belanjawan yang akan datang.
Mengulas tentang keperluan menggunakan formula tiga wilayah dalam agihan belanjawan, Ahmad Maslan berkata, perkara itu belum diputuskan namun, kerajaan Persekutuan menghormati sumbangan ketiga-tiga wilayah berkenaan iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, di Semenanjung Malaysia ada juga negeri yang besar seperti Pahang yang memerlukan peruntukan yang banyak.
Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata, kerajaan sedang berusaha menoktahkan kemiskinan tegar dari Perlis hingga ke Sabah menjelang hujung tahun ini.
Hadir sama dalam program itu adalah Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Phoong Jin Zhe dan Pembantu Menteri Kewangan, Datuk Julita Majungki. –UTUSAN










