ASEAN, China perlu pelbagai strategi pelaburan

ASEAN, China perlu pelbagai strategi pelaburan

anwar
ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ASEAN dan China perlu mempelbagaikan strategi pelaburan dalam mendepani ketegangan geopolitik dan faktor ketidakstabilan lain. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, strategi itu selaras keutamaan ASEAN bagi memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau itu serta memupuk hubungan perdagangan bilateral dan multilateral. 

“Saya turut menzahirkan hasrat untuk menyaksikan kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan China yang kekal menjadi destinasi eksport terbesar negara,” katanya dalam ucapan di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) yang dimuat naik dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Dalam pada itu, Anwar di hadapan Premier China, Li Qiang dan pimpinan-pimpinan lain serta ketua-ketua industri, menegaskan kepentingan Rangka Pemulihan Ekonomi ASEAN yang kritikal di dalam melonjakan perniagaan mikro, kecil dan sederhana (MSMES).

Beliau optimistik CAEXPO yang menjadi manifestasi kerjasama di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA)  akan terus memangkin perniagaan Malaysia, memupuk kerjasama perdagangan dan merangsang pemulihan ekonomi.

Menurut Anwar,  kunjungan singkat ke Nanning, China adalah sangat berjaya menerusi pelbagai program yang telah dilaksanakan walaupun hanya kira-kira 14 jam.

Pastinya lawatan ini telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia dan China, nescaya mengembang dan mengukuhkan kerjasama kedua-dua negara yang sangat bersejarah.

“Lebih banyak komitmen, kerjasama, diskusi dan pertemuan empat mata pasti dituntut bagi membawa seribu satu peluang kejayaan serta situasi menang-menang antara Malaysia-China dan juga benua ASEAN secara keseluruhan,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN