Harga minyak berpotensi lonjak sehingga AS$150 setong

Harga minyak berpotensi lonjak sehingga AS$150 setong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga minyak mentah global berpotensi melonjak melebihi AS$150 (159 liter) setong dalam keadaan tertentu susulan ketidaktentuan konflik geopolitik, meskipun ketika ini masih berlegar antara AS$90 hingga AS$110 setong.

Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, turun naik harga itu bergantung sepenuhnya kepada perkembangan peperangan yang masih belum menemui titik penyelesaian.

Katanya, walaupun wujud gencatan senjata, ia tidak semestinya menjamin kestabilan harga minyak kerana tempohnya singkat dan perjanjian tersebut berisiko dicabuli berdasarkan rekod terdahulu.

“Dalam keadaan tertentu, harga minyak boleh meningkat sehingga melebihi AS$150 setong. Namun, ia juga boleh turun ke sekitar AS$90 hingga AS$100 setong sekiranya berlaku genjatan senjata atau keadaan konflik sedikit reda.

“Buat masa ini, harga minyak dilihat turun naik sekitar AS$90 hingga AS$110 setong. Sekiranya selepas tempoh gencatan senjata peperangan kembali tercetus, tidak mustahil harga minyak boleh meningkat sehingga AS$150 setong,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Media antarabangsa sebelum ini melaporkan, harga minyak meningkat semula pada Khamis selepas merosot ketara sehari sebelumnya, ketika gencatan senjata Amerika Syarikat-Iran dilihat masih rapuh dan Selat Hormuz ditutup semula sepenuhnya.

Setong minyak mentah Brent bagi penghantaran Jun didagangkan pada paras US$97.24 pada pagi Khamis, meningkat 2.6 peratus berbanding hari sebelumnya.

Tambah Bashir Ahmad, selagi konflik berlaku secara tidak menentu, harga minyak akan terus kekal tidak stabil kerana dipengaruhi oleh faktor permintaan dan penawaran di pasaran antarabangsa.

“Ketidaktentuan itu turut dipacu oleh penglibatan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat (AS) serta peranan Iran sebagai antara pengeluar utama minyak di Timur Tengah.

“Selain itu, laluan Selat Hormuz yang menyumbang kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia juga berpotensi terganggu akibat sekatan atau ketegangan di kawasan tersebut.

“Harga minyak mentah dijangka terus berdepan turun naik dengan julat sekitar AS$80 hingga AS$90 setong dan berpotensi meningkat sehingga AS$150 setong selagi peperangan masih berterusan,” katanya.

Sementara itu, pakar Ekonomi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. L. Nanthakumar berkata, ketegangan melibatkan kuasa besar serta pelanggaran gencatan senjata menjadikan situasi semakin kompleks dan tidak terkawal.

Katanya, kejadian itu mewujudkan gangguan terhadap rantaian bekalan minyak sehingga mengurangkan penawaran global, manakala kos pengangkutan dan insurans meningkat akibat risiko keselamatan, sekali gus membebankan syarikat pengimport.

“Walaupun harga minyak dunia berpotensi menurun, kos import yang tinggi terus menekan harga domestik kerana perlu kita fahami bahawa Malaysia mengimport minyak mentah bukan produk siap menjadikan kos tambahan meningkat khusunya ketika ketidaktentuan geopolitik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN