Arwah Suhaimi aktif bidang kokurikulum

Arwah Suhaimi aktif bidang kokurikulum

ALLAHYARHAM Cikgu Suhaimi Yaacob (kanan) bersama pentadbir sekolah ketika meraikan sambutan Bulan Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Adik kepada seorang guru, Suhaimi Yaacob, 56, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 5, Jalan Jerantut-Maran (Batu 58) dekat sini semalam, terkejut selepas menerima perkhabaran mengenai kejadian itu menerusi kumpulan WhatsApp pada pukul 8.45 pagi hari ini.

Faizul Zaki Yaacob, 49, berkata, dia pada mulanya tidak berapa perasan mangsa tersebut adalah abangnya, tetapi setelah melihat gambar motosikal yang ditunggangi arwah turut mengesahkan kebenaran kejadian itu seperti yang dimaklumkan oleh rakan WhatsApp.

“Saya pun terus membuat laporan ke balai polis mengenai kemalangan yang menimpa abang saya dan kemudiannya bergegas ke Unit Forensik Hospital Jerantut untuk menunggu arwah dibedah siasat,” katanya di hadapan Unit Forensik Hospital Jerantut, di sini semalam.

Menurut Faizul Zaki, dia bertemu dengan arwah dua hari lepas di rumah keluarga di Rumah Kilat Sungai Jan, bandar Jerantut, tetapi arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik cuma mereka berbual hal kekeluargaan.

Katanya, walaupun tinggal di bandar yang sama, dia jarang berjumpa dengan arwah abangnya yang sentiasa pulang lewat petang kerana kesibukan tugas mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini.

“Arwah yang masih bujang merupakan seorang abang yang bertanggungjawab, sentiasa memupuk kasih sayang antara keluarga dan kerap membantu dalam apa juga hal kekeluargaan,” katanya.

Dia berkata, abangnya sebelum ini pernah mengajar di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam, Selangor dan kemudiannya bertukar ke daerah ini sudah hampir dua tahun.

“Saya dan keluarga amat sedih kerana tahun ini, kami kehilangan dua insan yang sangat disayangi. Sebelum ini, bapa kami, Yaacob Seman juga meninggal dunia pada bulan Julai lalu akibat strok dan hari ini arwah pula menyusul. Bagaimanapun kami reda kerana segalanya sudah ditentukan Allah SWT,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN