Aktiviti korek, bawa keluar pasir dikesan di pantai pendaratan penyu - Utusan Malaysia

Aktiviti korek, bawa keluar pasir dikesan di pantai pendaratan penyu

LORI membawa muatan pasir memunggah bahan itu ke dalam tongkang yang berlabuh di pantai Pasir Panjang, lokasi pendaratan penyu di Lumut malam dan awal pagi tadi. - UTUSAN/IHSAN KUASA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) mengesan kegiatan melombong pasir dan membawa keluar bahan itu menggunakan jalan laut dipercayai dilakukan secara haram di kawasan pantai Pasir Panjang, Segari, dekat sini malam tadi dan awal pagi ini.

Kawasan pantai Pasir Panjang adalah lokasi pendaratan penyu di Perak yang difahamkan dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1).

Menurut Timbalan Pengerusi KUASA, Noor Ismady Ahmad Radzuan, kegiatan itu dipercayai baru dilakukan kerana tiada sebarang aktiviti dilakukan di situ ketika pihaknya membuat tinjauan di lokasi tersebut kelmarin.

“Oleh itu, saya membuat laporan polis di Balai Polis Segari pagi tadi meminta siasatan dilakukan terhadap kegiatan tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam laporan itu, beliau menyatakan menerima aduan daripada nelayan tempatan menerusi aplikasi WhatsApp kira-kira pukul 9 malam tadi memaklumkan ada dua tongkang sedang membawa pasir di pantai tersebut.

Beliau kemudian pergi ke lokasi berkenaan dengan menaiki bot nelayan kira-kira pukul 10 malam dan mendapati terdapat sebuah tongkang dan sebuah bot tunda berada di lokasi tersebut.

Pada masa sama, kelihatan beberapa lori sedang memindahkan pasir ke dalam tongkang tersebut.

Beliau menjelaskan berada di lokasi tersebut sehingga pukul 5.50 pagi dan ketika beredar dari situ mendapati aktiviti tersebut masih dilakukan.

Menurutnya, aktiviti tersebut dilakukan di kawasan yang terletak tidak jauh dari Sungai Puyu, yang menjadi lokasi ‘kegemaran’ penyu mendarat untuk bertelur.

Awal tahun lalu, Majlis Perbandaran Manjung (MPM) telah mengeluarkan notis henti kerja ke atas projek korek pasir yang didakwa dijalankan di kawasan tersebut.

Begitupun, tinjauan Sahabat Alam Malaysia (SAM), KUASA, persatuan nelayan dan penduduk setempat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Remis, Wong May Ing, pada awal tahun ini mendapati terdapat kerja-kerja tanah dilakukan di kawasan tersebut.

Penyelidik Lapangan SAM, Meor Razak Meor Abdul Rahman, ketika itu memberitahu media bahawa beliau dimaklumkan oleh penduduk setempat dan nelayan mengenai aktiviti tersebut.

Beliau difahamkan, pengorekan pasir dan penanaman cerucuk kayu itu bertujuan bagi membina jeti atau pontoon untuk membawa keluar pasir milik sebuah syarikat yang beroperasi berhampiran.

Beliau percaya jika jeti itu dibina, penyu tidak akan mendarat lagi di Pantai Pasir Panjang kerana haiwan itu tidak akan mendarat di pantai yang dilakukan pembangunan atau ramai manusia.

Tinjauan itu turut menjadi kecoh apabila beberapa aktivis alam sekitar dan penduduk tempatan yang pergi ke situ menggunakan laluan darat ‘ditahan’ serta dilarang meninggalkan kawasan tersebut oleh pekerja syarikat terlibat atas dakwaan menceroboh tanah milik mereka.

Mereka bagaimanapun dilepaskan tidak lama kemudian selepas campur tangan pihak polis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya