Ahmad Samsuri nafi SG4 mahu musuhi Kerajaan Persekutuan - Utusan Malaysia

Ahmad Samsuri nafi SG4 mahu musuhi Kerajaan Persekutuan

SULTAN Mizan Zainal Abidin (tengah) dan Ahmad Samsuri Mokhtar (tiga dari kanan) diberi penerangan mengenai operasi perkhidmatan awam di Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah Kuala Nerus sempena majlis perasmian bangunan itu di Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan kononnya pembentukan empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) iaitu State-Government 4 (SG4) seolah-olah mahu memusuhi Kerajaan Persekutuan.

Sebaliknya, beliau menegaskan pembentukan SG4 itu adalah untuk meningkatkan potensi empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis melalui kerjasama erat dalam bidang industri, pelancongan dan ekonomi.

Menurutnya, pembentukan SG4 adalah antara inisiatif empat negeri tersebut demi manfaat rakyat di negeri masing-masing tanpa wujudnya sebarang sentimen anti Kerajaan Persekutuan.

“Semua yang kita laksanakan ini, cari jalan sebanyak mungkin dengan pelbagai cara untuk meningkatkan tahap ekonomi dan perkara-perkara yang berkaitan di negeri-negeri yang ditadbir PN.

“Apa juga usaha yang kita buat, dari kecil sehingga besar (termasuk pembentukan SG4) adakah itu dah dikira tak hormati Kerajaan Persekutuan.

“Itu yang saya tak faham (tuduhan anti persekutuan) sebab pada peringkat ini pun kita sedang bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan melalui pelbagai agensi dan kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya pembentukan SG4 adalah seolah-olah memusuhi kerajaan Persekutuan.

Terdahulu, Ahmad Samsuri ditemui pemberita selepas majlis perasmian Kompleks Pentadbiran Bandar Al Wathiqu Billah yang disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah antara bukti betapa eratnya hubungan kerajaan negeri Terengganu dengan Kerajaan Persekutuan selama ini.

“Saya pun baru minggu lepas hadir mesyuarat dengan ECRL, jadi tak timbul isu kita tidak hormati Kerajaan Persekutuan. Saya percaya untuk kita capai satu matlamat, kita harus guna pelbagai cara. Kiri kanan, atas bawah asalkan tercapai objektif yang kita ingin capai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN