PETALING JAYA: Belanjawan 2026 dijangka memberi penekanan lebih besar terhadap pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) negara termasuk melanjutkan tempoh pengecualian cukai sedia ada, menyediakan insentif bagi penyelenggaraan dan komponen serta memperkukuh latihan tenaga mahir tempatan.
Pakar Kuasa Elektrik dan Sistem Pemacu dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Ishak Aris berkata, langkah itu penting bagi memastikan strategi peralihan negara kepada mobiliti rendah karbon berjalan lancar sambil melindungi kepentingan pengguna.
“Kerajaan kemungkinan akan sambung tempoh insentif cukai seperti duti eksais sifar untuk EV kerana masih kurang model dari pemain tempatan.
“Sementara menunggu Perodua memperkenalkan EV tempatan dan Proton keluarkan lebih banyak model, pengguna perlu diberikan kelegaan melalui pengecualian cukai dan pengurangan harga kenderaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, aspek penyelenggaraan dan kos komponen turut memerlukan sokongan kerajaan memandangkan kebanyakan alat ganti masih diimport.
“Jika tidak dikawal, kos penyelenggaraan boleh menjadi tinggi. Kerajaan boleh memberi insentif terhadap komponen dan alat ganti supaya pemilik EV tidak terbeban,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan wajar menyalurkan dana atau menyediakan latihan percuma bagi melahirkan tenaga mahir penyelenggaraan EV dan hibrid.
“Teknologi EV berbeza dengan enjin pembakaran dalaman (ICE). Mekanik perlu dilatih semula agar bengkel mempunyai kakitangan yang mampu menyelenggara kenderaan baharu ini,” ujarnya.
Beliau turut menjangka kerajaan akan memperkenalkan langkah sementara untuk mengurangkan kos pemilikan kereta, termasuk kemungkinan melanjutkan pengecualian duti eksais sehingga pengeluar tempatan menawarkan alternatif lebih kompetitif.
Dalam jangka panjang, katanya, industri automotif negara perlu membangunkan teknologi dan komponen sendiri supaya harga EV tempatan lebih mampu milik dan setanding dengan produk import.
“Kerajaan boleh mempertimbangkan skim padanan seperti 50-50 bagi membantu syarikat yang mahu menghasilkan komponen secara tempatan. Apabila ekosistem ini matang, kita bukan sahaja dapat mengawal harga, malah kualiti juga terjamin,” katanya.
Tambah beliau, penyertaan universiti dalam penyelidikan dan pembangunan komponen seperti bateri, motor dan pengecas akan memperkukuh daya saing industri.
“Jika kita ada pelan jangka pendek dan panjang yang jelas, Malaysia mampu muncul sebagai pemain utama EV di rantau ini,” tambahnya. – UTUSAN










