LIVERPOOL: Arne Slot terpaksa mengeluarkan Milos Kerkez pada separuh masa pertama bagi mengelak pasukannya bermain 10 pemain, ketika Liverpool mencatat kemenangan 1-0 ke atas Burnley, semalam.
Pemain pertahanan Hungary itu dilayangkan kad kuning pada pertengahan babak pertama sebelum digantikan oleh Andy Robertson pada minit ke-38.
Slot sempat berbual seketika dengan pemain berusia 21 tahun itu di tepi padang selepas pertukaran itu mengakui, tindakan Kerkez berlakon jatuh tidak bijak dan kad kuning yang diterimanya turut mempengaruhi keputusannya untuk mengeluarkan bek kiri tersebut.
Slot sebelum ini pernah menarik keluar Kerkez seawal sejam permainan ketika aksi pembukaan menentang Bournemouth selepas pemain itu turut menerima kad kuning, sekali gus mengakui dia tidak sanggup mengambil risiko kemungkinan menerima layangan kad merah.
“Ya, saya sudah beritahu dia itu bukan tindakan bijak. Dia balas bahawa dia rasa ada tangan menolak di belakangnya.
“Lucunya, sepanjang lebih setahun saya di sini, hanya dua kali pemain kami cuba menjatuhkan diri dan kedua-duanya berakhir dengan kad kuning.
“Kami memang tidak pandai melakukannya. Saya lihat banyak berlaku dalam perlawanan melibatkan pasukan lain tetapi mereka hanya diberikan amaran, tetapi bila pemain kami buat, sebaliknya berlaku,” kata Slot.
Slot menegaskan, keputusan pengadil meniup wisel selepas insiden seterusnya, walaupun tiada kekasaran berlaku, ditambah reaksi penyokong dan pemain lawan yang mendesak pengadil, membuatkan risiko untuk Kerkez dilayangkan kad kuning kedua terlalu tinggi. – AGENSI/UTUSAN










