31 projek ‘sakit’ dikenal pasti seluruh negara - Utusan Malaysia

31 projek ‘sakit’ dikenal pasti seluruh negara

ABDUL Rahman Mohamad (dua dari kiri) mendengar penerangan ketika lawatan ke bilik x-ray selepas Majlis Penyerahan Klinik Kesihatan Padang Besar, Perlis, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Sebanyak 31 daripada 727 projek di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) di seluruh negara dikenal pasti sebagai ‘projek sakit’ berikutan mengalami kelewatan pembinaan oleh pihak kontraktor.

Selain itu, KKR turut menamatkan perkhidmatan dua projek yang didapati tidak mampu lagi untuk diuruskan oleh pihak kontraktor.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, projek-projek yang mengalami kelewatan itu sedang dipantau dan diberi khidmat nasihat bagi memastikan pelaksanaannya mengikut jadual perancangan ditetapkan.

“Kelewatan ini memerlukan kerjasama antara kontraktor bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) agar projek itu tidak perlu ditender semula.

“Hakikat sebenar ialah dari 727 projek kita yang bernilai hampir RM10 bilion, 31 daripadanya meliputi lima peratus sahaja yang mengalami kelewatan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Klinik Kesihatan Padang Besar di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata demikian bagi menjawab pertanyaan pemberita berhubung jumlah projek yang mengalami kelewatan dan bilangan kontraktor disenarai hitam oleh KKR setakat ini.

Mengulas mengenai kempen MYJalan yang merangkumi sistem aduan bagi kerosakan jalan raya, Abdul Rahman berkata, buat masa ini, sebanyak 1,000 aduan telah diterima sejak inisiatif itu dilancarkan dua minggu lalu.

Katanya, bagaimanapun, kebanyakan daripada aduan berkenaan bukannya di bawah bidang kuasa dan seliaan kementerian itu.

“Terdapat aduan meliputi jalan Persekutuan, jalan pihak berkuasa tempatan (PBT), jalan negeri dan pelbagai lagi yang diterima melalui sistem aduan itu.

“Namun kita telah bantu untuk salurkan setiap aduan berkenaan kepada pihak terlibat untuk ditangani,” katanya.

KKR sebelum ini melancarkan kempen MYJalan yang merangkumi sistem aduan bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat bagi membolehkan masalah kerosakan jalan raya atau perabot jalan dapat dibaik pulih.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembangunan aplikasi MYJalan akan menjadi platform aduan setempat (one stop centre) bagi memudahkan pengguna membuat aduan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya