PETALING JAYA: Seramai 30,893 pelajar kemasukan peringkat Ijazah Sarjana Muda ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sesi Oktober ini ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) yang melibatkan peruntukan RM46.34 juta.
Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, pelajar yang berkelayakan tersebut bakal menerima pinjaman pendahuluan sebanyak RM1,500 setiap orang.
“Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui portal rasmi PTPTN dan boleh menunaikan WPP di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar.
“Sehubungan itu, tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 19 September hingga 18 November ini,” katanya.
Katanya, inisiatif WPP adalah sebagai salah satu usaha menjayakan agenda pendidikan negara untuk memastikan semua pelajar mampu melangkah masuk ke institusi pengajian tinggi (IPT) tanpa sebarang masalah kewangan.
“Pemberian WPP ini adalah untuk membantu meringankan beban kewangan pelajar dan ibu bapa kerana kita percaya tidak semua mampu menghantar anak-anak ke IPT di mana semuanya memerlukan sumber kewangan yang tinggi.
“Gunalah peluang yang diberikan ini sebaik mungkin dan tunjukkanlah rasa terima kasih dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga menjadi modal insan unggul kepada negara,” katanya.
Dalam pada itu kata beliau, pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui portal rasmi PTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA.
Justeru katanya, mahasiswa yang ingin membuat permohonan pinjaman tersebut perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.
Jika pelajar mempunyai persoalan, mereka boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar IPT masing-masing atau terus menghubungi PTPTN atau layari www.ptptn.gov.my. – UTUSAN