KUALA TERENGGANU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu merekodkan sebanyak 235 kes lewat mendaftar kelahiran bayi sejak Januari hingga Ogos tahun ini.
Pengarah JPN Terengganu, Mohamad Nasir Kareem berkata, antara faktor berlakunya kelewatan itu adalah kerana kecuaian ibu bapa terutama melibatkan pasangan yang berkahwin di luar negara.
Menurutnya, ramai pasangan yang lambat mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia dan masalah akan timbul apabila isteri sudah melahirkan bayi.
“Pasangan perlu menyelesaikan pendaftaran perkahwinan terlebih dahulu sepatutnya bagi mengelak kes sebegini.
“Lazimnya, ibu bapa yang mendaftar kelahiran selepas bayi mereka berusia 60 hari dari tarikh dilahirkan, pihak JPN akan menentusahkan bayi itu dengan sedikit ‘siasatan’ terhadap ibu bapa.
“Mereka juga perlu membayar sebanyak RM50 bagi kadar fi urusan pendaftaran kelahiran itu,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
JPN Terengganu menjangka kes lewat mendaftar bayi juga akan meningkat menjelang Disember tahun ini kerana situasi semasa terutama perkahwinan di luar negara.
Tambahnya lagi, sepanjang tahun 2022, sebanyak 286 permohonan diterima JPN Terengganu bagi kes lewat daftar sijil kelahiran bayi.
Sehubungan itu, JPN Terengganu akan meningkatkan kempen kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk memastikan tiada lagi kes lewat mendaftarkan kelahiran bayi berlaku.
“Tiada alasan sebenarnya kerana proses mendaftarkan kelahiran bayi sangat mudah tanpa perlu bawa bayi ke JPN.
“Hanya beberapa dokumen ibu bapa diperlukan untuk memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.
“Sekiranya ada sebarang masalah, mana-mana wakil ibu bapa juga boleh memaklumkan kepada JPN Terengganu untuk kita bantu mengikut keperluan kes,” katanya. – UTUSAN










