207,000 pilih wakil rakyat baharu

207,000 pilih wakil rakyat baharu

PARA petugas SPR membuat persiapan akhir menjelang PRK Parlimen Pulai di Menara MBJB, Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: HARI ini kira-kira 167,000 pengundi Parlimen Pulai dan 40,000 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram membuat keputusan siapa yang bakal dipilih menjadi wakil rakyat mereka.

Selepas dua minggu berkempen, enam calon bertanding masing-masing tiga di Pulai dan Simpang Jeram menyerahkan nasib mereka di tangan pengundi, sama ada diangkat sebagai wakil rakyat atau sebaliknya.

Berdasarkan respons para pengundi di Pulai, pertarungan sengit pastinya antara calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat dan calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar.

Calon Bebas, Samsudin Mohamad Fauzi pula hanya dianggap sebagai ‘penyeri’ bagi memeriahkan lagi pertandingan tiga penjuru itu.

Selepas tempoh berkempen, kini para pengundi Pulai sudah dapat menilai dan membuat keputusan siapa yang bakal diundi berdasarkan keupayaan setiap calon.

Pilihan mereka amat penting kerana akan membawa suara rakyat kawasan tersebut ke peringkat Persekutuan iaitu di Dewan Rakyat. Calon yang dipilih juga wajib membantu mereka menangani pelbagai isu setempat.

Berdasarkan pemerhatian dan tahap sokongan, Suhaizan dilihat masih kekal mendahului Zulkifli dan Samsudin.

Sekiranya trend sokongan tersebut berterusan, khususnya daripada penyokong Cina yang dianggap ‘deposit tetap’ PH, ditambah dengan sokongan penyokong tegar Barisan Nasional (BN) kian bertambah, tidak mustahil Suhaizan mempertahan kerusi tersebut bagi pihak Kerajaan Perpaduan.

Namun, Zulkifli tetap terus menyaingi Suhaizan dengan harapan dapat menarik lebih tinggi pengundi Cina dan melonjakkan sokongan orang Melayu, termasuk pengundi tegar UMNO yang belum dapat menerima sepenuhnya kerjasama PH-BN.

Malah, keputusan kes mahkamah melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini, turut menjadi ‘modal’ saat akhir PN mengalihkan sokongan kepadanya.

Situasi itu turut ‘dipanaskan’ dengan keputusan mahkamah kelmarin melibatkan kes bekas Pengerusi Felcra, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad yang turut dibebaskan daripada tuduhan rasuah.

Di Simpang Jeram, cara berkempen Pas yang lebih agresif berbanding Parti Amanah Negara (Amanah) memungkinkan calon PN, Dr. Mohd. Mazri Yahya merampas kerusi berkenaan.

Calon PH, Ir. Nazri Abdul Rahman sangat bergantung kepada sokongan pengundi UMNO dan kepulangan pengundi luar bagi meneruskan amanah ditinggalkan penyandang kerusi, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Apa yang pasti, kemenangan PN di Simpang Jeram merupakan suntikan semangat buat Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk melebarkan pengaruhnya di bumi Johor yang sebelum ini mendapat gelaran ‘negeri kelahiran UMNO’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×